Rumah Putih jadi tuan rumah perjanjian damai UAE-Israel

Rumah Putih di Washington D.C akan menjadi tuan rumah kepada perjanjian damai antara Emiriyah Arab Bersatu dengan Israel. - AFP
Rumah Putih di Washington D.C akan menjadi tuan rumah kepada perjanjian damai antara Emiriyah Arab Bersatu dengan Israel. - AFP
A
A
A

WASHINGTON D.C - Para pemimpin Israel dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan menandatangani perjanjian damai yang bersejarah di Rumah Putih dalam tempoh tiga minggu, kata Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam.

Trump yang bercakap pada sidang akhbar beberapa jam selepas perjanjian itu diumumkan telah memuji Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan pemimpin UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan sebagai rakan yang mengagumkan yang menunjukkan wawasan dan kepimpinan.

"Saya akan menjadi tuan rumah kepada Israel dan UAE di Rumah Putih secepat yang boleh bagi menandatangani perjanjian tersebut," katanya kepada pemberita.

Trump memberi petunjuk bahawa UAE bukannya negara terakhir yang akan menandatangani perjanjian dengan Israel yang setakat ini mempunyai hubungan formal dengan dua buah negara Arab iaitu Mesir dan Jordan.

Sebelum ini, Duta UAE ke AS, Yousef al-Otaiba berkata, perjanjian itu merupakan kemenangan diplomasi sekali gus menuju perubahan yang penting dalam hubungan antara negara-negara Arab dengan Israel.

Netanyahu pula menyifatkan hubungan Israel dengan dunia Arab memasuki era baharu berikutan perjanjian damai itu. - AFP

Artikel Berkaitan: