MBSA anjur program pemutihan peniaga di Sungai Buloh

Poster memaklumkan MBSA bakal menganjurkan Program Pemutihan Peniaga/Penjaja di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh selama dua hari bermula esok
Poster memaklumkan MBSA bakal menganjurkan Program Pemutihan Peniaga/Penjaja di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh selama dua hari bermula esok
A
A
A

SUNGAI BULOH - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal mengadakan Program Pemutihan Peniaga dan Penjaja di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh Seksyen U20 selama dua hari bermula esok.

Menerusi poster dikongsikan di laman Facebooknya, MBSA memaklumkan program itu akan diadakan di Dewan Meranti Bandar Baru Sungai Buloh.

"Program pada hari Sabtu bermula dari jam 8 pagi hingga 4 petang manakala hari Ahad dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

"Peniaga dan penjaja di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh dijemput hadir," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menggesa MBSA membantu peniaga kecil tempatan yang memenuhi syarat untuk mendapatkan lesen perniagaan.

Dalam satu pertemuan bersama Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman hari ini, Amirudin juga menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu supaya membanteras perniagaan dijalankan warga asing.

Menurut Amirudin, beliau difahamkan MBSA akan melaksanakan program bersama peniaga dan penjaja di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh esok.

Sebelum ini nama kawasan Seksyen U20, Bandar Baru Sungai Buloh di sini tiba-tiba meletup selepas digempur dengan serbuan berterusan pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang termasuk MBSA dengan sejumlah 19 premis disita dalam satu operasi bersepadu.

Artikel Berkaitan:

Serbuan pelbagai agensi penguat kuasa undang-undang itu susulan video tular yang mendedahkan kegiatan kedai judi haram dan penjualan rokok seludup yang didakwa beroperasi di sekitar kawasan itu oleh seorang peniaga burger yang dikenali sebagai Asri Janggut.