MB Selangor gesa MBSA segera bantu peniaga kecil dapat lesen

Amirudin ketika mengadakan pertemuan bersama Haris (dua dari kanan), Mohd Rashidi (kanan) dan Mohd Khairuddin hari ini. -Foto FB Amirudin Shari
Amirudin ketika mengadakan pertemuan bersama Haris (dua dari kanan), Mohd Rashidi (kanan) dan Mohd Khairuddin hari ini. -Foto FB Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menggesa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membantu peniaga kecil tempatan yang memenuhi syarat untuk mendapatkan lesen perniagaan.

Pada masa sama Amirudin menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut supaya membanteras perniagaan dijalankan oleh warga asing.

Beliau mengadakan pertemuan bersama Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman hari ini.

Menurut Amirudin, beliau difahamkan MBSA akan melaksanakan program bersama peniaga dan penjaja di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh esok.

"Kaunter permohonan permit penjaja sementara akan dibuka bagi memudahkan penjaja dan peniaga setempat mendapatkan lesen dan permit berniaga.

"Ini adalah selaras dengan dasar kerajaan negeri yang sentiasa prihatin dengan permasalahan oleh penjaja dan peniaga kecil terutama menghadapi kesan wabak koronavirus (Covid-19)," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook beliau, hari ini.

Menurut Amirudin lagi, kerajaan negeri sentiasa konsisten dalam membanteras perniagaan warga asing serta premis perniagaan haram.

Sementara itu, pihak MBSA turut mengulangi komitmen bekerjasama dengan pihak berkuasa mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang masih berjalan.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri sentiasa mengamalkan konsep ‘transparency’ dan ketelusan dalam melaksanakan tugasan dan khidmat kepada rakyat," katanya.

Terdahulu, peniaga kecil di Bandar Baru Sungai Buloh disaran menubuhkan persatuan bagi memudahkan penyelesaian isu membabitkan mereka di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, dengan adanya persatuan itu nanti, ia dapat membantu menyelesaikan peniaga tidak berlesen yang terkesan kerana tidak berniaga.