Ahli Parlimen perlu sokong PBB singkir Israel

Penempatan rakyat Palestin di Tebing Barat dirobohkan secara semberono untuk bina perumahan baharu warga Israel.
Penempatan rakyat Palestin di Tebing Barat dirobohkan secara semberono untuk bina perumahan baharu warga Israel.
A
A
A

TINDAKAN kejam berterusan rejim Zionis merobohkan penempatan rakyat Palestin di Tebing Barat secara semberono bagi memberi laluan kepada perumahan baharu warganya perlu dikutuk dengan sekeras-kerasnya.

Alasan merobohkan rumah hanya kerana struktur itu tiada permit seringkali dinafikan penduduk Palestin di Tebing Barat. Mereka mendakwa mempunyai geran tanah yang diperakui sejak dari zaman pemerintahan Uthmaniyah lagi.

Tidak cukup dengan tindakan itu, polis dan tentera Zionis sentiasa melayan penduduk Palestin seperti hamba dan kehidupan mereka sentiasa diancam bahaya setiap hari.

Di atas kesedaran itu, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh telah melancarkan satu petisyen dalam kalangan ahli Parlimen bagi mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Zionis meneruskan rancangan mengambil alih secara paksa tanah milik penduduk Palestin di Tebing Barat.

Petisyen itu menggariskan enam cadangan antaranya mengusir Israel daripada semua perhimpunan dan agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pada 16 Julai lalu, Persidangan Kamar Khas Parlimen sebulat suara bersetuju dengan usul khas yang dibawa Syed Ibrahim mengenai isu Palestin, antara lain menggesa kerajaan bekerjasama dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk tindakan susulan terhadap Israel.

Antara ahli Parlimen yang telah menandatangani petisyen itu ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setakat ini, media melaporkan hanya 130 ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang sudah menandatangani petisyen itu.

Artikel Berkaitan:

Diharapkan kesemua 222 ahli Parlimen Malaysia dapat sepakat dalam isu ini dan menandatanganinya sebelum petisyen itu diserahkan kepada wakil kedutaan Amerika Syarikat dan Palestin pada Isnin depan.

Selain itu, petisyen itu juga akan diserahkan kepada Kesatuan Antara Parlimen (IPU) dan Kesatuan Ahli Parlimen Serantau seperti Asean Inter-Parlimentary Assembly (AIPA).