Peraturan pelik Israel untuk kuasai Palestin

Gambar fail menunjukkan seorang pegawai keselamatan Hamas berdiri di Lintasan Kerem Shalom di Genting Gaza, Palestin. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan seorang pegawai keselamatan Hamas berdiri di Lintasan Kerem Shalom di Genting Gaza, Palestin. - Foto AFP
A
A
A

ISRAEL melaksanakan beberapa langkah keras terhadap penduduk Palestin yang tinggal di Gaza pada Rabu lalu dengan memendekkan jarak yang dibenarkan bagi menangkap ikan di bandar tepi pantai itu.

Peraturan baharu itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap bom api yang berterusan masuk ke wilayah Israel.

Justeru, jarak yang dibenarkan bagi menangkap ikan itu kini ialah lapan batu nautika dari kawasan pantai berbanding 15 batu nautika sebelum ini sehingga notis baru dikeluarkan.

Bot-bot nelayan Palestin kelihatan di Laut Mediterranean di sebuah pelabuhan di Bandar Gaza pada 10 Mei 2019. - Foto AFP
Bot-bot nelayan Palestin kelihatan di Laut Mediterranean di sebuah pelabuhan di Bandar Gaza pada 10 Mei 2019. - Foto AFP

"Ini adalah tindak balas berikutan belon-belon api dari Genting Gaza memasuki negara Israel," kata kementerian pertahanan rejim Zionis.

Tambah memeritkan lagi ialah Israel mengumumkan pada Khamis lalu ia sedang menghentikan import minyak ke Genting Gaza yang merupakan langkah terbaru bagi menyekat kemasukan belon tersebut.

Peraturan itu dibuat selepas jet-jet Israel melancarkan serangan ke atas sasaran-sasaran Hamas di Genting Gaza.

Sebelum ini perkhidmatan bomba Israel melaporkan bahawa terdapat 60 kebakaran akibat bom-bom api itu tetapi ia tidak menyatakan jumlah kecederaan dan kematian berikutan kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kadangkala layang-layang digunakan bagi membawa bom petrol yang sedang terbakar ke Israel sehingga menimbulkan ketegangan antara kedua-dua buah negara pada tahun lalu.

Menurut portal berita The Conversation, pada pertengahan bulan Jun 2018, lebih 600 layang-layang dan belon membakar 412 kawasan tanaman dan hutan.

Pada Selasa lalu pula, rejim Zionis juga bertindak menutup sempadan utamanya dengan Genting Gaza selepas para pejuang Palestin melancarkan belon-belon tersebut di kawasan sempadan negara Yahudi itu.

"Lintasan Kerem Shalom akan ditutup untuk laluan barangan dengan pengecualian peralatan-peralatan penting kemanusiaan dan minyak," kata Kementerian Pertahanan Israel dalam satu kenyataaan.

Kerem Shalom ialah salah satu daripada tiga lintasan sempadan Gaza bersama Israel dan Mesir.

Bagaimanapun, sebelum ini banyak barang melalui lintasan itu pada setiap hari.

Beberapa pegawai Palestin pula menyatakan penutupan itu akan menjejaskan penghantaran bahan-bahan pembinaan.

Walaupun gencatan senjata yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mesir dan Qatar pada tahun lalu, kadangkala kedua-dua belah pihak sering bertempur dengan menggunakan serangan roket, tembakan mortar dan belon yang membawa bom petrol.

Beberapa penganalisis berkata, serangan dari Gaza kerap digunakan sebagai tawar-menawar untuk Israel memberi lampu hijau kepada penghantaran bantuan kewangan dari Qatar ke Gaza.

Satu sumber rapat dengan Hamas pula menyatakan serangan roket pula adalah satu mesej kepada Israel bagi menunjukkan kumpulan-kumpulan bersenjata di Gaza tidak akan mendiamkan diri ketika menghadapi sekatan dan pencerobohan rejim Zionis.

Gaza ditadbir oleh pergerakan Hamas manakala negara Yahudi itu mengawal dengan ketat tanah dan sempadan lautnya.

Mesir pula mengawal pergerakan keluar dan masuk Gaza.

Satu lagi tindakan tidak berperikemanusiaan Israel adalah merobohkan kediaman penduduk Palestin yang dibina di dalam gua di Tebing Barat.

Sebelum ini keluarga Ahmed Amerneh yang merupakan seorang jurutera awam berusia 30 tahun tinggal di dalam sebuah gua dengan sebuah pintu kayu untuk menuju ke 'biliknya', namun pihak berkuasa Israel mengancam untuk merobohkan kediaman tersebut.

Ahmed memberitahu AFP bahawa beliau sudah tinggal selama setahun dan enam bulan tetapi menerima notis untuk merobohkan rumah tersebut pada bulan lalu bersama 20 lagi penduduk Palestin di Farasin.

Sebuah cawangan tentera yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal awam di Tebing Barat iaitu Cogat berkata, notis itu dikeluarkan kepada sebahagian penduduk kerana struktur binaan mereka adalah haram dan tanpa permit serta kelulusan.

Bagaimanapun, Ahmed memberitahu berasa terkejut untuk mengetahui bahawa beliau telah membina sesuatu yang haram.

"Saya tidak membina gua. Ia telah pun wujud," tambahnya yang tinggal di gua tersebut selepas gagal mendapatkan permit untuk membina rumah di Farasin.

Sementara itu, menurut portal Middle East Monitor pada 12 Ogos lalu, seorang keluarga Palestin yang tinggal di Baitulmuqaddis Timur juga dipaksa merobohkan rumah sendiri jika tidak mahu dikenakan denda atau yuran perobohan oleh pihak berkuasa Israel.

Seorang jurutera, Ahmed Amerneh duduk di bahagian dapur sebuah gua yang dijadikan rumah di Farasin, Tebing Barat baru-baru ini. - Foto AFP
Seorang jurutera, Ahmed Amerneh duduk di bahagian dapur sebuah gua yang dijadikan rumah di Farasin, Tebing Barat baru-baru ini. - Foto AFP

Rumah itu mahu diroboh kerana ia dibina tanpa kelulusan yang perlu diperoleh oleh penduduk Palestin.

Berdasarkan Perjanjian Oslo pada tahun 1990an, sebahagian kawasan Tebing Barat diperintah sendiri oleh Palestin.

Bagaimanapun, kira-kira 60 peratus wilayah tersebut dilabel sebagai Kawasan C iaitu tempat terletaknya Farasin dan masih dalam kawalan penuh tentera dan pentadbiran awam rejim Zionis.

Kira-kira 450,000 pendatang Yahudi pula dilaporkan menduduki Tebing Barat bersama 2.7 juta penduduk Palestin.

Justeru, menurut portal Middle East Monitor, Israel sebenarnya mahukan semua wilayah Palestin.

Ini adalah kerana sejak lewat abad ke-19, pergerakan Zionis telah menjelaskan bahawa objektifnya adalah untuk mengawal seluruh tanah Palestin dari Sungai Jordan sehingga ke Laut Mediterranean. - Agensi