X

Kindly register in order to view this article
!

Kondominium jadi 'port' judi dalam talian

Mohd Zani (kiri) menunjukkan barangan yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai enam individu termasuk seorang wanita warga China ditahan dalam serbuan berasingan di empat unit kondominium di sini hari ini kerana disyaki terlibat dengan sindiket perjudian dalam talian.

Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Judi, Maksiat, Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, kesemua individu berusia 22 hingga 52 tahun itu disyaki menjalankan aktiviti serta menganjurkan permainan judi dan pertaruhan secara dalam talian untuk pelanggan di China.

"Premis tersebut dipercayai merupakan khidmat pelanggan bagi sindiket berkenaan. Ia beroperasi 24 jam setiap hari.

"Terdapat pelbagai pilihan permainan (judi dalam talian) yang ditawarkan kepada pelanggan," katanya.

Menurutnya, sindiket terbabit menggunakan transaksi kewangan menerusi perbankan dalam talian bank di China untuk proses menerima dan membayar hasil perjudian dalam talian dengan menggunakan mata wang negara China.

"Sindiket ini menggunakan akaun-akaun bank berkenaan bagi urusan transaksi wang kemenangan ke akaun-akaun pelanggan," katanya pada sidang akhbar ketika operasi di kondominium berkenaan hari ini.

Mohd Zani berkata, kadar sewa bagi unit rumah kondominium itu ialah RM3,000 sebulan.

"Siasatan mendapati, kegiatan sindiket ini telah beroperasi sejak satu bulan serta mengaut keuntungan RM25,000 hasil kegiatan pertaruhan melalui aktiviti haram ini," katanya.

Beliau berkata, gaji bulanan yang diperolehi suspek yang ditangkap ialah kira-kira RM3,000 hingga RM3,500 yang dibayar menerusi transaksi AliPay atau secara tunai.

"Kita turut merampas 12 unit telefon bimbit, empat unit komputer riba, tiga komputer dan 12 kad bank," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!