Ainul Mardhiah genap dua tahun

Ahmad Safiuddin meluahkan rasa, kasih dan sayang terhadap Ainul Mardhiah.
Ahmad Safiuddin meluahkan rasa, kasih dan sayang terhadap Ainul Mardhiah.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Hari ini genap dua tahun usia bayi kesayangan rakyat Malaysia, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin.

Keadaan kesihatan bayi itu kini bertambah baik selepas selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut semasa usianya sembilan bulan.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 25, berkata, sempena ulang tahun anaknya itu, dia bersyukur kepada Ilahi atas pelbagai pengajaran dan pengalaman dipelajari sepanjang menjaga Ainul Mardhiah.

"Daripada tidak dikenali, sehinggalah mendapat tempat di hati masyarakat yang prihatin dan penuh kasih sayang terhadapnya.

"Alhamdulillah, kami tidak sangka dengan apa yang telah Ainul lalui pada usianya setahun yang lalu.

"Ternyata, puteri kami ini sangat kuat, cekal dan tabah orangnya. Mungkin lebih kuat dari kami dan juga orang yang berada di sekelilingnya pada ketika itu," katanya di Facebooknya.

Beliau menambah, Ainul Mardhiah telah berjaya menempuh segala dugaan dan berjaya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya akibat kanser Germ Cell Tumor di London pada Jun tahun lalu.

"Hari ini, boleh dikatakan Ainul telah berjaya 'survive' dari ketumbuhan yang pernah menyinggah sebentar dalam kehidupannya.

Artikel Berkaitan:

"Hari ini, Ainul membesar seperti seorang juara! Ainul bertambah aktif dan kelihatan sangat ceria.

"Ainul boleh bermain, boleh ketawa, boleh menangis dan Ainul dah reti menyakat orang di sekeliling. Ainul menjadi penghibur duka lara kami dengan keletahnya," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Safiuddin berharap masyarakat terus mendoakan kesembuhan Ainul Mardhiah.

"Doakan Ainul membesar dengan sihat, doakan Ainul diberikan kesembuhan secara total, doakan Ainul dapat membesar dengan baik.

"Doakan juga supaya Ainul menjadi seseorang yang akan memberi banyak manfaat dan kebaikan kepada orang lain di masa akan datang," jelasnya.

Isnin, 13 Aug 2018, 3.25pm @ Hospital Besar Melaka . Alhamdulillah, banyak pengajaran, pengalaman yang Allah swt...

Posted by Ahmad Safiuddin on Thursday, August 13, 2020