Protes antikerajaan: PM Thailand rayu perpaduan

Enam menteri baharu bersama Prayut mengangkat sumpah di hadapan Raja Maha Vajiralongkorn dan Permaisuri Suthida di Istana Dusit di Bangkok semalam. - Foto: Agensi
Enam menteri baharu bersama Prayut mengangkat sumpah di hadapan Raja Maha Vajiralongkorn dan Permaisuri Suthida di Istana Dusit di Bangkok semalam. - Foto: Agensi
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha hari ini merayu perpaduan selepas negara itu kini berdepan siri protes antikerajaan sejak pertengahan bulan lalu.

Kumpulan penunjuk perasaan itu turut menuntut pengunduran bekas jeneral tentera yang melakukan rampasan kuasa pada 2014.

"Saya menggesa seluruh rakyat untuk menolak kebencian politik dan perpecahan yang mewujudkan jurang antara golongan tua dan muda serta orang miskin dan orang kaya. Masa depan adalah milik golongan muda. Biarlah mereka yang memimpin dan memberikan kepimpinan moral," katanya.

Terdahulu, Prayut menegaskan protes dilancarkan kumpulan pelajar itu bakal berdepan tindakan undang-undang dan pihak berkuasa harus menyiasat dalang di sebalik demonstrasi tersebut.

Semalam, pemerintah Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn menggesa ‘ketenteraman dan keamanan’ di negara itu tanpa merujuk kepada protes antikerajaan dilancarkan kumpulan pelajar yang mendesak pembaharuan sistem beraja.

Baginda yang memegang gelaran Rama X itu membuat titah tersebut ketika majlis angkat sumpah Kabinet baharu kelmarin yang menyaksikan kemunculan awam pertama selepas demonstrasi besar-besaran tidak pernah berlaku sebelum ini yang mencabar undang-undang lese majeste atau menghina raja yang boleh membawa hukuman penjara maksimum sehingga 15 tahun.

Ketika acara itu, baginda turut memberi restu kepada barisan anggota Kabinet baharu dan berharap mereka diberikan kesihatan yang baik untuk melaksanakan tugas dengan cemerlang.

Majlis angkat sumpah Kabinet baharu itu diadakan susulan peletakan jawatan enam menteri di bawah pentadbiran Prayut pada bulan lalu di tengah-tengah pertikaian dalaman parti pemerintah.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, enam anggota baharu Kabinet itu termasuk eksekutif perbankan veteran, Predee Daochai yang dilantik sebagai Menteri Kewangan dan Supattanapong Punmeechaow dinamakan sebagai Menteri Tenaga.

Kelmarin, Prayut menyelar ribuan pelajar yang menyertai protes itu yang didakwa ‘bertindak melampau’ kerana mengemukakan 10 tuntutan untuk pembaharuan monarki.

Setakat ini, tiada pemimpin kumpulan protes didakwa di bawah undang-undang lese majeste walaupun dua penganjur telah dibebaskan dengan ikat jamin selepas ditahan atas beberapa tuduhan termasuk menghasut dan melanggar peraturan koronavirus (Covid-19) kerana terlibat dalam perhimpunan besar.

Dalam perkembangan lain, Thailand telah mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mengkritik sistem beraja di media sosial.

Menteri Ekonomi Digital, Buddhipongse Punnakanta mengarahkan pihak berkuasa untuk mengenal pasti catatan yang tidak sesuai dan sebanyak 114 daripadanya dipercayai melanggar Akta Jenayah Komputer. - Agensi