Tindakan proaktif KKM berjaya bendung penularan Covid-19 di Sarawak

Dr Noor Hisham berkata, perkara ini terbukti apabila tiada pertambahan kes positif bagi 10 kluster di Sarawak dilaporkan dalam tempoh dua minggu malah negeri itu telah diklasifikasikan sebagai zon hijau semula.
Dr Noor Hisham berkata, perkara ini terbukti apabila tiada pertambahan kes positif bagi 10 kluster di Sarawak dilaporkan dalam tempoh dua minggu malah negeri itu telah diklasifikasikan sebagai zon hijau semula.
A
A
A

PUTRAJAYA - Tindakan proaktif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan menjalankan aktiviti kesihatan awam telah berjaya membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19) di Sarawak, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, perkara ini terbukti apabila tiada pertambahan kes positif bagi 10 kluster di Sarawak dilaporkan dalam tempoh dua minggu malah negeri itu telah diklasifikasikan sebagai zon hijau semula.

"Ini menunjukkan tindakan KKM iaitu dengan menghantar Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Dr Hishamshah Mohd Ibrahim dan (Ketua Bahagian Kawalan Penyakit) Dr Norhayati Rusli ke lapangan dan kami telah mengambil tindakan kesihatan awam yang berjaya membendung jangkitan Covid-19 di negeri Sarawak terutamanya di Kuching.

"KKM juga telah meningkatkan keupayaan makmal (pengesanan Covid-19) di Hospital Umum Sarawak...KKM akan terus memantau untuk membendung penularan Covid-19 di negara kita," katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya terdapat kes positif virus itu yang berkaitan perhimpunan di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 28 Julai lepas.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, tiada kes positif Covid-19 berkaitan perhimpunan tersebut dilaporkan sehingga kini.

Ditanya mengenai status kajian sama ada kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga berkaitan dengan mutasi D614G, Dr Noor Hisham berkata, kajian penjujukan genom memakan masa dan ia boleh diketahui dalam masa seminggu lagi.

Beliau berkata, setakat ini KKM hanya mensyaki kluster Sivagangga di Kedah hadapi mutasi D614G kerana ia merebak dengan pantas sekali, namun mengesahkan perkara itu memerlukan kajian genom.

Artikel Berkaitan:

"Penjujukan genom memakan masa kerana virus perlu diasing dan dikultur sebelum boleh dibaca. Dalam seminggu lagi dapat keputusan sama ada ya atau bukan (mutasi D614G)," jelasnya.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham berkata, selain penjagaan kesihatan awam, kawalan sempadan juga perlu ditingkatkan kerana virus mutasi D614G turut dilaporkan di Eropah dan negara lain.

Mengenai penemuan vaksin Covid-19 oleh Rusia yang juga menjadi negara pertama yang mendaftar vaksin tersebut, Dr Noor Hisham berkata KKM hanya mendapat berita itu daripada laporan media tetapi tiada bukti saintifik mengenai vaksin tersebut.

Jelasnya, data-data kajian klinikal fasa ketiga perlu dijalankan namun KKM tidak pasti sama ada ia dijalankan ataupun tidak sebelum mengesyorkan penggunaan vaksin itu di negara ini.

"Banyak persoalan timbul dan tiada jawapan...sama ada berkesan, berapa liputan atau antibodi yang boleh kekal, adakah perlu melaksana booster, berapa kekerapan booster yang perlu dilaksanakan.

"Jadi kita ada banyak soalan tetapi belum mendapat penerbitan mengenai kajian tersebut. Kami menunggu kajian tersebut baru boleh baca dan boleh kami nyatakan sama ada vaksin ini berkesan ataupun tidak," katanya.

Beliau berkata, yang penting ialah keberkesanan vaksin dan kesan samping, justeru kajian klinikal fasa tiga perlu dijalankan. - Bernama