Jejambat baharu tambah kesesakan

Lokasi cadangan pembinaan jejambat di Bandar Bukit Raja.
Lokasi cadangan pembinaan jejambat di Bandar Bukit Raja.
A
A
A

KLANG - Penduduk dan peniaga di Bukit Raja mendakwa pembinaan jejambat yang menghubungkan Persiaran Sungai Keramat dan Persiaran Astana bakal mengakibatkan kesesakan terus di kawasan berkenaan.

Mereka turut mendakwa kesesakan di kawasan itu tidak pernah berkesudahan dan aliran trafik juga tinggi terutama ketika waktu puncak.

Penduduk, Lim Lien Huat, 55, ketika ditemui berkata, ketika ini penduduk dari taman perumahan berdekatan terpaksa melakukan pusingan U dan keadaan semakin sukar akibat kesesakan lalu lintas.

"Pembinaan jejambat ini melibatkan jangka masa yang lama, saya risau sepanjang tempoh itu kami akan menghadapi kesesakan yang luar biasa," katanya.

Lim Lien Huat
Lim Lien Huat

Sementara itu, Presiden Persatuan Penduduk Bandar Bukit Raja, Datuk Roger Tan berkata, sebilangan besar penduduk dan peniaga di kawasan rumah kedai berhampiran tapak projek pembinaan jejambat tidak bersetuju dengan pembinaan kemudahan itu.

"Selain kesesakan lalu lintas, pembinaannya akan memberikan impak kepada perniagaan mereka.

"Mereka mungkin hilang pelanggan kerana tiada siapa yang akan pergi ke kawasan yang sesak.

Artikel Berkaitan:

"Pihak berkaitan perlu memikirkan alternatif atau kaedah lain bagi menggantikan jejambat ini," katanya.

Roger menunjukkan lokasi jejambat bakal dibina.
Roger menunjukkan lokasi jejambat bakal dibina.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jacky Ng Chee Eng berkata, isu pembinaan jejambat itu masih dibuka untuk cadangan dan pandangan pelbagai pihak.

"Projek pembinaan ini masih lagi menerima pandangan pelbagai pihak dan siri perbincangan dengan penduduk juga akan diadakan selepas kali pertama bertemu pada 15 Julai lalu.

"Jika dikatakan projek pembinaan jejambat ini tidak mengambil kira suara penduduk, ia dakwaan yang tidak benar sama sekali," katanya.

Katanya, pembinaan jejambat bagi menghubungkan Persiaran Astana ke Persiaran Sungai Keramat bakal memberi manfaat kepada penduduk Bandar Bukit Raja dan juga peniaga.

"Masalah kesesakan lalu lintas antara isu yang paling kritikal dan dijangka meningkat dalam beberapa tahun akan datang dan alternatif yang terbaik ialah dengan membina jejambat," katanya.

Jejambat dibina antara Persiaran Sungai Keramat dan Persiaran Astana bertujuan untuk mengurangkan kesesakan.
Jejambat dibina antara Persiaran Sungai Keramat dan Persiaran Astana bertujuan untuk mengurangkan kesesakan.