X

Kindly register in order to view this article
!

Nahas MPV: Haziq masih trauma, selalu menangis

Exco Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri (kiri) mewakili kerajaan negeri menziarah Muhammad Haziq yang masih menerima rawatan lanjut di HRPB semalam.
A
A

IPOH - Keadaan kesihatan Muhammad Haziq Zikri Mohd Zairul, 9, yang terselamat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 5 Jalan Keramat Pulai berhampiran simpang Lubuk Timah, Simpang Pulai, Selasa lalu semakin pulih tetapi masih trauma.

Bapa saudara, Mohd Zakri Mat Isa, 37, berkata, emosi kanak-kanak itu masih belum stabil sepenuhnya dan dilihat kerap menangis terutama apabila terjaga daripada tidur.

Bagaimanapun menurutnya, keadaan kesihatan anak saudaranya juga semakin baik selepas menjalani pembedahan pada tangan kanan yang patah.

"Cuma emosinya dalam keadaan trauma. Hari ini saya sempat membuat panggilan video dan dia menangis memberitahu masih takut dengan kejadian itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, Muhammad Haziq masih di tempatkan di Wad Pediatrik Kanak-kanak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk pemantauan lanjut.

"Buat sementara waktu, saya, abang dan adik-beradik yang lain akan bergilir menjaganya sehingga dia dibenarkan keluar dari hospital nanti," katanya.

Selain Muhammad Haziq, turut terselamat dalam kejadian itu ialah pasangan dua beradik, Firash Mikhael Azrie Syah, 11, dan abangnya yang dikenali sebagai Apit berusia 16 tahun.

Mohd Zakri berkata, kedua-dua mereka masih menerima rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPB akibat kecederaan parah.

"Mereka berdua masih belum diberitahu kejadian sebenar yang ibu bapa serta adik mereka terkorban dalam kejadian itu," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 5.30 petang itu, tujuh sekeluarga maut manakala tiga yang lain cedera selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler.

ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh maut, Alza bertembung lori

Mereka yang maut ialah ibu, bapa serta adik perempuan Muhammad Haziq iaitu Mohd Zairul Mat Isa, 34; Nuratiqah Abd Hamid, 30, dan Nur Qaseh Damia, 4.

Turut terkorban ibu Mohd Zairul, Fatimah Mat Isa, 68; sepupu, Zulkifli Shuib, 49; isteri, Hasliza Mahmud, 40, serta anak mereka, Mohd Alif Firdaus, 3.

Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke Serdang, Kedah selepas bercuti di Pulau Pangkor dan Cameron Highlands sejak Ahad lalu.

Jenazah semua mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Badlishah, Serdang Kedah kira-kira jam 6.10 petang semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Nahas MPV: Saksi sayu terdengar jeritan, tangisan mangsa

Identiti mangsa nahas MPV dikenal pasti

Tujuh sekeluarga selamat dikebumikan

'Haziq seorang sahaja ke yang masih hidup?'


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!