Debat Mujahid, Abdul Azeez jadi tumpuan malam esok

Krew program Berani Semuka melakukan persiapan bagi memastikan kelancaran program debat yang akan berlangsung di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini malam esok.
Krew program Berani Semuka melakukan persiapan bagi memastikan kelancaran program debat yang akan berlangsung di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini malam esok.
A
A
A

SHAH ALAM - Debat antara bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang dijadual berlangsung malam esok dijangka menjadi tumpuan seluruh negara.

Debat di pentas Berani Semuka yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini pada jam 8.30 malam itu akan menyentuh isu mengenai kedudukan TH terutama penjualan beberapa aset di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Isu berkenaan turut menjadi perbalahan pada persidangan Dewan Rakyat dan menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan ahli politik serta bualan hangat rakyat.

Sinar Harian selaku pihak penganjur giat melakukan persiapan bagi memastikan debat di antara tokoh yang masing-masing merupakan ahli Parlimen di blok kerajaan dan pembangkang itu berjalan lancar.

Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar bertindak sebagai moderator dalam program debat yang akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook dan platform media sosial Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Berani Semuka pertemukan Mujahid, Abdul Azeez

Berani Semuka buka peluang rakyat buat penilaian

Pertembungan Berani Semuka dijangka tarik anak muda

Artikel Berkaitan:

Format baharu Berani Semuka

Pada 21 Julai lalu, Mujahid mencabar Abdul Azeez untuk berdebat secara terbuka mengenai kedudukan TH apabila Ahli Parlimen Baling itu galak mencelah ketika beliau berucap di Dewan Rakyat.

Sehubungan itu, pada 22 Julai, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin berkata, sebagai sebuah akhbar yang bebas daripada mana-mana pengaruh parti politik, Sinar Harian sedia untuk menemukan Mujahid dan Abdul Azeez.

Sejarah pentas debat Sinar Harian bermula 12 tahun lalu antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang ketika itu Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Sinar Harian kemudian menganjurkan beberapa siri debat membabitkan tokoh politik lain termasuk Timbalan Ketua Pemuda Pas, Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang mengupas tajuk Malaysia Baharu: Pemimpin Tak Amal Politik Matang? pada 20 November tahun lalu.

Selain itu debat bertajuk 'Apa Pilihan Anak Muda: BN atau PH' yang menampilkan Exco Pemuda UMNO, Rahman Hussin dan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 9 April 2018.

Pada 22 Mei 2012, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut berdebat dengan Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli mengenai isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Tidak terkecuali, Sinar Harian turut menjadi platform debat melibatkan tokoh politik agama di antara Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi dan Ulama Muda UMNO, Fathul Bari dengan tajuk 'PRU13: Orang Muda Pilih Siapa?' pada 19 Julai 2012.