X

Kindly register in order to view this article
!

13 calon Bersatu pada PRU14 isytihar keluar parti

Mohd Faudzi (depan, tengah) bersama sebahagian ahli Gabungan Permuafakatan Mantan-mantan Calon Parlimen dan DUN Bersatu mengumumkan keluar parti serta-merta pada sidang media di Putrajaya hari ini.
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 13 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu mengisytiharkan keluar parti berkuat kuasa serta merta hari ini.

Menggelarkan diri mereka sebagai ahli Gabungan Permuafakatan Mantan-mantan Calon Parlimen dan DUN Bersatu, kesemua mereka bertanding pada PRU14 menerusi platform Pakatan Harapan (PH), namun tewas dengan pencabar masing-masing.

Wakilnya, Datuk Dr Mohd Faudzi Muda berkata, mereka mengambil keputusan meninggalkan parti kerana melihat suasana politik di Malaysia kini semakin tidak stabil.

"Setelah melihat perkembangan semasa dan suasana politik Malaysia yang semakin tidak stabil, kami ambil keputusan keluar Bersatu.

"Buat masa ini kami tidak akan menyertai mana-mana parti dan akan bertindak sebagai kumpulan pemerhati," katanya pada sidang akhbar di Kelab Tasik Putrajaya di sini hari ini.

Mohd Faudzi bersama bekas calon Parlimen dan DUN Bersatu pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Mohd Faudzi bersama bekas calon Parlimen dan DUN Bersatu pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Selain Mohd Faudzi yang bertanding bagi kerusi Parlimen Setiu, Terengganu pada PRU14 lalu, ahli gabungan itu terdiri daripada calon kerusi Parlimen lain iaitu Azran Deraman (Jeli, Kelantan), Datuk Wan Nazari Wan Jusoh (Besut, Terengganu) dan Profesor Dr Salihuddin Radin Sumardi (Pasir Salak, Perak).

Selain itu, Mohamad Rafidee Hassim (Kuala Krau, Pahang), Norliza Ngadiman (Pengerang, Johor), Datuk Khairil Anuar Akhiruddin (Larut, Perak), Amirul Fairuzzeen Jamaluddin (Lenggong, Perak) dan Mohd Nor Hussin (Gua Musang, Kelantan).

Empat lagi bertanding kerusi DUN pada PRU14 lalu iaitu Dr Che Ku Hashim Che Ku Mat (Kuala Besut, Terengganu), Kapten Wan Marzudi Wan Omar (Semerak, Kelantan), Dr Wan Zulkhairi Wan Md Zain (Tendong, Kelantan) dan Afif Syairol Abdul Rahim (Bebar, Pahang).

Mohd Faudzi berkata, mereka juga mengambil keputusan meninggalkan parti kerana Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan persekutuan bukanlah sebuah perikatan rasmi politik negara.

"Gabungan politik lebih didominasi Muafakat Nasional (MN). Kami mendesak Parlimen segera dibubarkan supaya kestabilan politik dapat dicapai melalui pilihan raya umum.

"Kami yang terdiri dari latar belakang profesional, pesara pegawai kanan kerajaan serta ahli perniagaan berharap rakyat diberikan peluang untuk memilih kerajaan persekutuan baharu.

"Ia harus dibuat dengan pembubaran segera Parlimen. Keadaan politik sekarang beri kesan buruk kepada kerajaan. Ia juga menjejaskan ekonomi negara apatah lagi dalam pasca penularan wabak Covid-19 ketika ini," katanya.

Beliau berkata, adalah penting untuk ekonomi negara kembali berkembang dan menarik semula kepercayaan pelabur luar untuk datang ke Malaysia.

Selain itu, katanya, Malaysia perlu memacu semula ekonomi tempatan kerana ketika ini banyak perusahaan dan perniagaan tempatan terjejas.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!