X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki, gadis tauke ketum dicekup!

Ab Rashid (kiri) menunjukkan air dan daun ketum yang dirampas dalam serbuan berasingan di sekitar Wakaf Bharu menerusi Op Tapis Bersepadu.
A
A

TUMPAT - Seorang lelaki dan gadis yang dipercayai terlibat dalam penjualan ketum di daerah ini dicekup polis dalam serbuan berasingan di sekitar Wakaf Bharu menerusi Op Tapis Bersepadu yang bermula semalam.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, dalam serbuan pertama pada jam 2.30 petang semalam di Kampung Pasir Puteh pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berusia 47 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar rumah suspek, polis telah menemui 27 kilogram (kg) daun ketum yang dianggarkan bernilai RM1,080.

“Bukan itu sahaja, kita turut merampas wang tunai berjumlah RM62,230 yang dipercayai hasil jualan daun ketum,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Ab Rashid berkata, dalam serbuan berikutnya polis berjaya menahan seorang gadis bersama air dan daun ketum, ubat batuk dan pil nitrazepam dalam serbuan di sebuah rumah di Wakaf Bharu pada jam 10 malam tadi.

Katanya, gadis berusia 20-an dicekup ketika berada di ruang tamu rumah terbabit dalam Op Tapis Bersepadu.

Ab Rashid (dua dari kanan) menunjukkan wang tunai, ubat batuk dan pil jenis nitrazepam yang berjaya dirampas.
Ab Rashid (dua dari kanan) menunjukkan wang tunai, ubat batuk dan pil jenis nitrazepam yang berjaya dirampas.

“Hasil pemeriksaan lanjut di sekitar rumah suspek membawa kepada penemuan 151 bungkusan air ketum dan 61 balutan plastik mengandungi daun ketum.

“Selain itu, kita turut temui 70 botol ubat batuk dan 940 biji pil jenis nitrazepam,” katanya.

Ab Rashid berkata, saringan ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapati dia negatif dan tidak mempunyai rekod lampau.

Katanya, nilai keseluruhan rampas dianggarkan berjumlah RM3,168.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

Ab Rashid berkata, menerusi Op Tapis Bersepadu itu juga polis turut menahan empat lagi individu berusia 20-an hingga 30-an dalam serbuan di Wakaf Bharu.

Katanya, kesemua mereka ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 16 Ogos untuk siasatan lanjut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!