Maqis rampas makanan ikan dari Taiwan

Kontena yang membawa makanan ikan dari Taiwan ditahan di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini pada 16 Julai lalu.
Kontena yang membawa makanan ikan dari Taiwan ditahan di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini pada 16 Julai lalu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas makanan ikan yang diimport dari Taiwan selepas menahan sebuah kontena di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini pada 16 Julai lalu.

Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, makanan ikan itu dirampas kerana pihak pengimport disyaki mengemukakan dokumen tidak tepat dan mengelirukan.

Menurutnya, ketika pemeriksaan dibuat terdapat beberapa jenis makanan ikan yang tidak diikrar kepada Maqis.

"Siasatan lanjut mendapati pengimport tidak mempunyai Lesen Mengimport Makanan Haiwan yang dikeluarkan di bawah Akta Makanan Haiwan 2009 bagi makanan ikan yang tidak diikrar.

"Keseluruhan hasil rampasan dianggarkan seberat 22,020 kilogram dan bernilai RM150,087.22," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Produk makanan ikan yang cuba dibawa masuk dari Taiwan dirampas.
Produk makanan ikan yang cuba dibawa masuk dari Taiwan dirampas.

Katanya, kontena terbabit telah disita dan kes telah disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 13 Akta yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Maqis akan sentiasa mengambil langkah serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam kepada keselamatan makanan negara," katanya.