DUN Sikamat bakal jadi kawasan bebas sampah

Aminuddin (kanan) semasa menghadiri mesyuarat di Wisma Majlis Bandaraya Seremban bagi membincangkan masalah kebersihan di DUN Sikamat semalam.
Aminuddin (kanan) semasa menghadiri mesyuarat di Wisma Majlis Bandaraya Seremban bagi membincangkan masalah kebersihan di DUN Sikamat semalam.
A
A
A

SEREMBAN - Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat akan dijadikan DUN contoh di negeri ini dalam aspek kebersihan dan pengurusan sampah.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, semua kontraktor yang dipilih untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan perlu menjalankan tugas dengan komited dan sempurna.

"Bagi memastikan DUN Sikamat bersih dan bebas sampah, semua agensi yang terlibat perlu bekerjasama dengan Pusat Khidmat Rakyat DUN Sikamat dalam memastikan kebersihan dapat ditambah baik.

"Kontraktor yang gagal menjalankan tanggungjawab perlu dikenakan tindakan," katanya ketika mempengerusikan mesyuarat di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bagi membincangkan masalah kebersihan di DUN Sikamat semalam.

Hadir sama Datuk Bandar MBS, Datuk Zazali Salehudin; Setiausaha MBS, Mas Midyawan Yahya, wakil SW Corp Southern Waste Management (SWM Environment), kontraktor pembersihan dan semua Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Sikamat.

Menurutnya, perancangan yang tersusun perlu dirangka supaya matlamat menjadikan Sikamat sebagai DUN contoh dapat direalisasikan.

"Aspek kebersihan memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk penduduk di Sikamat itu sendiri.

"Sikap serta mentaliti orang yang suka membuang sampah sesuka hati perlu diubah bagi memastikan kehidupan generasi akan datang terus terpelihara," katanya.

Artikel Berkaitan: