Liga-M diteruskan tanpa penonton bermula 26 Ogos

Ismail Sabri pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.
- FOTO: BERNAMA
Ismail Sabri pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur hari ini. - FOTO: BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perlawanan bola sepak Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadualkan bermula pada 26 Ogos kekal berlangsung tanpa kehadiran penonton, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Keputusan ini diambil setelah mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak penganjur perlu memastikan semua garis panduan yang ditetapkan dipatuhi," katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Sebelum ini dilaporkan Kementerian Belia dan Sukan akan meminta nasihat KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung penganjuran semula Liga-M ekoran peningkatan jumlah kes Covid-19 di dalam negara ketika ini.

Liga-M 2020 yang ditangguhkan sejak 16 Mac lepas akibat penularan Covid-19 akan bermula pada 26 Ogos dengan aksi serentak Liga Super dan Liga Premier manakala saingan Piala Malaysia akan bermula pada 17 Oktober.

Sementara itu mengulas mengenai kempen Pembudayaan Normal Baharu, Ismail Sabri berkata, pihak swasta termasuk persatuan-persatuan runcit dan pengusaha makanan serta badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu mengambil bahagian dibenarkan untuk mengguna logo Polis Diraja Malaysia pada poster kempen mereka.

"Logo Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan PDRM bagi poster kempen kesedaran yang dikeluarkan oleh pihak swasta dan persatuan adalah dibenarkan untuk menunjukkan sokongan agensi-agensi itu dalam kempen ini dan bukan untuk tujuan perniagaan," katanya.

Bagaimanapun, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada agensi yang berkaitan terlebih dahulu serta merujuk Garis Panduan Penyediaan Kandungan Bahan Promosi Kempen Pembudayaan Normal Baharu yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Kempen Pembudayaan Normal Baharu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Ogos lepas bagi menyemarakkan amalan kawalan kendiri dalam kalangan masyarakat bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 di negara ini,

Artikel Berkaitan:

Berkenaan laporan penemuan vaksin Covid-19 oleh Russia, Ismail Sabri berkata, KKM akan meneliti mengenai perkara itu sebelum membuat keputusan untuk menempah vaksin itu untuk kegunaan rakyat negara ini.

"Saya percaya KKM akan teliti dulu perkara itu. Sekarang ini banyak negara dakwa bahawa mereka telah jumpa vaksin, tapi sejauh mana boleh digunakan, sejauh mana ia berjaya, KKM akan teliti sebelum menempah mana-mana vaksin dan masih terlalu awal untuk buat keputusan itu," katanya.

Dua hari lepas, Rusia dilaporkan mendakwa berjaya menghasilkan vaksin pertama yang menawarkan 'imunisasi stabil' bagi merawat jangkitan Covid-19.

Dalam pada itu, bagi soalan bilakah sempadan negara akan dibuka, Ismail Sabri berkata, setakat ini negara masih belum membuat keputusan untuk membuka sempadan negara kepada pelancong asing berdasarkan keadaan semasa situasi Covid-19 negara.

"Belum, kita belum ada tarikh ditetapkan bila kita nak buka sempadan, kita perlu lihat keadaan semasa negara lain dan juga perlu melihat keadaan negara kita, jika semua telah 'jelas' (situasi Covid-19 baru kita buat keputusan," katanya.

Sebelum ini dilaporkan Thailand tidak akan membuka pintu-pintu sempadan untuk pelancong antarabangsa sehingga tahun hadapan. - Bernama