X

Kindly register in order to view this article
!

Pelajar rugi RM1,800 terperdaya harga pelitup muka murah

Noorzainy Mohd Noor
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pelajar kolej kerugian RM1,800 akibat terperdaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai penjual pelitup muka dalam talian pada minggu lepas.

Remaja perempuan berusia 19 tahun itu dikatakan melihat iklan pelitup muka di Facebook yang dijual lebih murah berbanding harga pasaran.

Harga yang dijual menerusi iklan itu ialah RM9 sekotak yang mengandungi 50 keping pelitup muka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa kemudian berhubung dengan penjual terbabit menerusi WhatsApp dan bersetuju untuk membeli sebanyak 200 kotak dengan harga keseluruhan iaitu RM1,800.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat bayaran ke dalam akaun bank yang diberikan dan dijanjikan akan menerima barang berkenaan dalam tempoh tiga hari.

"Mangsa menyedari telah ditipu apabila pelitup muka yang dijanjikan tidak diterima dan pihak penjual juga gagal dihubungi.

"Mangsa tampil membuat laporan dan hasil siasatan polis mendapati akaun bank yang digunakan suspek sama dengan lima kes penipuan yang menggunakan modus operandi sama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Sementara itu, Noorzainy berkata, sebanyak 13 kertas siasatan telah dibuka berkaitan penipuan penjualan pelitup muka bagi daerah Seberang Perai Utara bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu melibatkan nilai RM 68,935.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan tawaran penjualan pelitup muka dengan harga lebih murah dari harga pasaran kerana ia merupakan satu perangkap bagi menarik perhatian pembeli.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!