Menteri pertahan kemampuan Idris urus GLC di Terengganu

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini mempertahankan kemampuan Raja Datuk Idris Raja Kamarudin meneraju beberapa jawatan penting dalam syarikat milik kerajaan negeri (GLC) Terengganu.

Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, Idris merupakan salah seorang penasihat bagi isu-isu korporat kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga kini.

“Beliau melepaskan gaji bernilai jutaan setahun untuk kembali ke Terengganu bertugas membantu Tuan Guru (Abdul Hadi) yang menjadi MB (Menteri Besar) Terengganu bagi memulihkan TDM Berhad pada 1999 dengan gaji yang jauh lebih kecil berbanding sebelumnya kerana akur dengan arahan Tuan Guru (Abdul Hadi),” katanya di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menegur pengurusan tadbir korporat kerajaan Terengganu kerana hampir kesemua lantikan lembaga pengarah membabitkan orang politik ketika sesi perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menzahirkan rasa kurang selesa apabila individu yang mempunyai rekod tidak baik dan pernah dipecat, didakwa turut dilantik memegang sehingga 13 jawatan termasuk pengerusi, ahli lembaga pengarah dan penasihat.

Beliau turut mendakwa seorang warga negara England dipercayai merujuk kepada Idris dilantik menjadi pengerusi enam buah syarikat dan pengarah enam buah syarikat dengan gaji keseluruhan RM650,000 setahun.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, beliau bersama Idris telah menjadi Penasihat Ekonomi Kerajaan Kelantan sejak 2013 sehingga sekarang.

Menurutnya, kejayaan Idris sejak 2018 ialah melonjakkan kembali TDM Berhad dan anak-anak syarikat di bawahnya yang rugi termasuk Chicken Cottage serta hubungan korporat di peringkat antarabangsa di samping kejayaan menerajui Kumpulan Perangsang Selangor sejak 2008 sehingga 2015.

Artikel Berkaitan:

Berikutan kejayaan itu, Khairuddin berkata, beliau terpaksa 'memaksa' Idris untuk menerima jawatan sebagai Pengerusi Malaysian Rubber Eksport Promotion Council (MREPC) pula.

“Alhamdulillah, walau baru bermula, beliau telah meneroka transformasi dan beberapa perubahan baru yang signifikan untuk MREPC.

“Antaranya memperluaskan hala tuju tugasan MREPC daripada hanya fokus kepada eksport kepada juga memperkasakan hiliran getah untuk keperluan domestik dengan beberapa perancangan strategik.

“Untuk itu MREPC dijenamakan semula sebagai Malaysian Rubber Council (MRC). Ia selangkah untuk memperkasakan huluan getah yang melibatkan hampir 500,000 golongan B40,” katanya.