Cubaan seludup 2.36 juta batang rokok putih

Ab Rashid (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan rokok putih yang berjaya dirampas oleh polis selepas menahan sebuah lori di Simpang Empat Kampung Besut.
Ab Rashid (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan rokok putih yang berjaya dirampas oleh polis selepas menahan sebuah lori di Simpang Empat Kampung Besut.
A
A
A

TUMPAT - Cubaan menyeludup 2.36 juta batang rokok putih bernilai RM590,000 berjaya dipatahkan oleh polis selepas menahan sebuah lori di Simpang Empat Kampung Besut, di sini awal pagi tadi.

Dalam operasi jam 4.30 pagi itu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat turut menahan seorang pemandu dan kelindan lori bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas lori itu membawa kepada penemuan 236 kotak yang mengandungi rokok seludup.

"Jumlah keseluruhan rampasan melibatkan rokok dan kenderaan dianggar berjumlah RM640,000," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Ab Rashid (tiga dari kiri) memeriksa rokok-rokok yang diseludup dan dipercayai untuk pasaran luar Tumpat.
Ab Rashid (tiga dari kiri) memeriksa rokok-rokok yang diseludup dan dipercayai untuk pasaran luar Tumpat.

Menurutnya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Ab Rashid berkata, siasatan awal mendapati kesemua rokok-rokok tersebut dipercayai untuk pasaran luar Tumpat.

Katanya, bagaimanapun polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan terus melipat gandakan operasi dalam usaha mengekang segala bentuk aktiviti jenayah di daerah ini.

"Jadi saya harap orang ramai dapat memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan dengan jenayah," katanya.