Pekerja Malaysia di Singapura rayu lesen memandu sementara

Dayalan Sreebalan (tengah) menunjukkan memorandum yang dihantar kepada Ibu Pejabat JPJ Johor di Taman Daya, Johor Bahru semalam untuk memohon JPJ mengeluarkan lesen memandu sementara kepada pekerja Malaysia di Singapura.
Dayalan Sreebalan (tengah) menunjukkan memorandum yang dihantar kepada Ibu Pejabat JPJ Johor di Taman Daya, Johor Bahru semalam untuk memohon JPJ mengeluarkan lesen memandu sementara kepada pekerja Malaysia di Singapura.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lebih 1,000 pekerja Malaysia yang bekerja sebagai pemandu lori dan bas di Singapura memohon Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan lesen sementara bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan di negara ini.

Pengerusi Task Force Pekerja Malaysia Singapura (Pemas), Dayalan Sreebalan berkata, ketika ini mereka tidak dapat bekerja sebagai pemandu lori, bas dan perkhidmatan e-hailing di negeri ini kerana memiliki lesen memandu Singapura.

Menurutnya, lesen memandu Singapura dimiliki oleh pekerja Malaysia yang bekerja sebagai pemandu lori dan bas di negara jiran itu tidak boleh digunakan di negara ini.

"Kami meminta JPJ mengeluarkan lesen memandu sementara yang boleh membantu mereka untuk mendapat pekerjaan sementara di Malaysia tanpa menukar atau mematikan lesen memandu Singapura.

"Rakyat Malaysia di Singapura yang menjadi pemandu lori atau bas tidak dapat bekerja di Johor kerana lesen mereka sudah bertukar kepada lesen memandu di Singapura," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum berkaitan permohonan lesen memandu sementara di Ibu Pejabat JPJ Johor di Taman Daya di sini hari ini.

Dayalan mencadangkan lesen sementara itu dapat digunakan dalam tempoh masa dua bulan sebelum diperbaharui.

"Sekiranya pintu sempadan dibuka sepenuhnya, mereka boleh memaklumkan kepada JPJ untuk menamatkan lesen sementara tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pemandu bas bandar di Singapura, Muhammad Najmi Mohamed Radzi, 32, berharap cadangan lesen memandu sementara mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan sekali gus membolehkannya mencari rezeki di negeri ini.

Beliau yang sudah lima bulan tidak mempunyai pekerjaan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa menggunakan wang simpanan bagi menyara keluarga.

Muhammad Najmi yang berpengalaman 10 tahun sebagai pemandu bas di republik itu berkata, beliau pernah bekerja di restoran makanan segera dan berniaga pisang goreng tetapi tidak bertahan lama.

"Kalau masalah ini berlanjutan, bagaimana saya mahu menyara keluarga?

"Saya pernah cuba untuk membawa Grab tetapi tidak boleh kerana tidak ada lesen memandu Malaysia berikutan sudah memiliki lesen memandu Singapura," katanya.