Doctor Run sasar 5,000 perserta Mac ini

No Image Caption
A
A
A

PROGRAM kesihatan berunsurkan larian, Doctor Run 2019, dianjurkan bertujuan mengumpul dana membantu Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim) selain platform kesedaran kesihatan untuk masyarakat yang berorientasikan keilmuan.

Dengan bertemakan 'Health Is Precious, Together We Care', setiap dana akan disalur untuk membantu Perdim membiayai kos-kos operasi serta aktiviti yang berlandaskan keilmuan dan penjagaan kesihatan.

Penyelaras Program Doctor Run 2019, Ilzamy Nabhani berkata, program pada 24 Mac ini akan bermula seawal 6 pagi di Dataran Merdeka Kuala Lumpur.

“Larian ini menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang tempat pertama sehingga kelima bagi setiap kategori larian 12 kilometer dan 17 kilometer.

“Bagi memeriahkan lagi pertandingan, penganjur juga turut menawarkan hadiah bagi pemenang kostum doktor terbaik selain cabutan bertuah yang kesemuanya bernilai RM15,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Perdim merupakan pertubuhan kedoktoran yang aktif dalam menjalankan program-program berorientasikan keilmuan dan kesihatan bagi kepentingan masyarakat .

Katanya, program ini turut menyasarkan 5,000 peserta dari pengamal perubatan moden swasta serta kerajaan selain seluruh lapisan masyarakat di sekitar Lembah Klang.

“Doctor Run 2019 adalah acara larian kompetitif pertama berunsurkan kebajikan melibatkan doktor, pengamal penjagaan kesihatan, pelajar perubatan, golongan profesional dari industri penjagaan kesihatan dan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Dana yang dikumpulkan daripada acara ini akan digunakan bagi pelbagai perbelanjaan pengoperasian pertubuhan termasuk program pendidikan kesihatan,” katanya lagi.

Ia termasuk kajian selain usaha menambah baik sistem kesihatan klinik dari sudut profesional selain memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat.

Perdim berharap, acara ini akan menjadi program tahunan dan dapat memupuk kesedaran terhadap pentingnya aktiviti fizikal bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan.

“Kesihatan adalah penting dan aktiviti bersenam seperti berjalan dan berlari merupakan aktiviti atau pergerakan yang paling mudah dilakukan oleh manusia selain boleh dilakukan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat umur.

“Aktiviti itu jika dilakukan secara konsisten dapat mengaktifkan otot-otot dan melancarkan lagi peredaran darah ke seluruh organ badan sekali gus menjadikan tubuh badan lebih sihat dan cergas,” katanya.

Orang ramai boleh layari Doctor Run 2019 dan juga Facebook Doctor Run untuk maklumat lanjut mengenai acara larian ini.