Koroner lawat lokasi kes Nora Anne

Pihak berkepentingan dilihat ke lokasi kes Nora Anne sebagai persiapan inkues.
Pihak berkepentingan dilihat ke lokasi kes Nora Anne sebagai persiapan inkues.
A
A
A

SEREMBAN - Genap setahun hari ini mayat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin yang hilang dijumpai, persiapan prosiding inkues kes kematiannya dilakukan dengan Koroner Maimoonah Aid melawat lokasi penginapannya bersama keluarganya di The Dusun Resort, di Pantai di sini hari ini.

Beliau tiba kira-kira jam 9.15 pagi dengan tujuh buah kenderaan pihak berkepentingan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Mereka yang hadir antaranya pegawai penyelaras inkues Muhamad Iskandar Ahmad dan peguam yang mewakili keluarga Nora Anne dan resort serta Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Senior Asisten Komisioner, Che Zakaria Othman.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar yang akan menjadi saksi pertama dalam prosiding bertujuan menentukan punca kematian Nora Anne turut kelihatan.

Sementara itu, Che Zakaria ketika ditemui berkata, lawatan Koroner yang berlangsung selama tiga jam adalah untuk mendapatkan gambaran awal sebagai persediaan inkues yang akan dijalankan minggu hadapan.


Che Zakaria Othman
Che Zakaria Othman

"Antara lokasi yang dilawati ialah tempat kejadian seperti tempat penginapan, lokasi mayat ditemui serta kawasan di sekitarnya," katanya.

Pihak berkenaan kemudian meninggalkan lokasi itu kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Artikel Berkaitan:

Pada 10 Julai lalu, Mahkamah Koroner Seremban menetapkan 24 Ogos hingga 4 September depan sebagai tarikh inkues kematian Nora Anne dengan seramai 64 orang saksi yang akan dipanggil.

Nora Anne anak istimewa berusia 15 tahun ketika itu bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu dan mula menginap di sebuah resort di sini pada 3 Ogos 2019.

Namun keesokannya dia dilaporkan hilang pada awal pagi sebelum mayatnya ditemui pada 13 Ogos 2019.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematiannya tidak mempunyai unsur jenayah dan disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.