'Bukan Najib arah tapi Ali Hamsa'

Najib (kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Najib (kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mendakwa bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa yang mengarahkan beliau supaya membuat pindaan terhadap laporan kewangan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukannya Datuk Seri Najib Razak.

Saksi keenam pendakwaan bagi kes meminda laporan akhir pengauditan 1MDB itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram berhubung pertemuannya dengan bekas Perdana Menteri itu di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada 22 Februari 2016.

Dalam mesyuarat itu, Ambrin berkata, Najib tidak mengarahkannya untuk memilih atau membuang mana-mana bahagian dalam laporan kewangan tersebut.

Ambrin Buang
Ambrin Buang

Sri Ram: Mengikut pernyataan saksi yang Tan Sri sediakan, iaitu “Najib kemudiannya meminta saya untuk tidak memasukkan dua versi penyata kewangan dalam laporan audit 1MDB”. Adakah Tan Sri kekal dengan pendapat tersebut?

Ambrin: Sebenarnya, Najib tidak mengarahkan saya...

Sri Ram: Bukan, apa yang saya maksudkan adalah...

Muhammad Shafee: Yang Arif, Tan Sri patut diberi peluang untuk menjawab soalan berkenaan dengan sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Ambrin: Betul, Najib tidak arahkan saya, tetapi beliau beritahu akan siasat perkara tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Najib tak suruh pilih atau buang salah satu laporan audit 1MDB'

Saksi berusia 71 tahun itu juga berkata, individu yang mengarahkannya supaya pindaan tersebut ialah Ali.

Menurutnya, meskipun tidak bersetuju dengan tindakan Ali itu, namun beliau terpaksa menerima cadangan berkenaan kerana mengambil kira peranan serta jawatan yang dipegang oleh Ali selaku Ketua Setiausaha Negara.

Menyentuh isu terdapat dua versi laporan kewangan audit 1MDB, Ambrin berkata, laporan pertama yang dibuat bersama kakitangannya pada mesyuarat 24 Februari 2016 sepatutnya dihantar kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Jika mesyuarat pada Mac tidak diadakan, kami akan hantar satu sahaja laporan maka tidak akan wujud dua versi laporan sebagaimana sekarang,” katanya.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan dikenakan terhadapnya.

Beliau didakwa, dalam kapasitinya sebagai Perdana Menteri ketika itu menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Ia dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan kesalahan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Tuduhan itu adalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 iaitu mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan terhadap laporan itu bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tertakluk kepada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan dengan 1MDB di tempat dan masa yang sama dan mengikut Seksyen 28 (1) (c ) Akta SPRM 2009 dibaca dengan Seksyen 23 (1) & 24 (1) akta yang sama yang memberikan hukuman yang sama, jika didapati bersalah.

Arul Kanda
Arul Kanda

Setakat ini, tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan termasuk Ambrin dan Ali.

Dalam kes berkenaan Gopal yang merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan mengetuai pasukan pendakwaan, sementara peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib dan N Sivananthan bagi pihak Arul Kanda.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan disambung 24 Ogos ini.