X

Kindly register in order to view this article
!

Polis tumpas 61 sindiket perjudian

Polis buka sebanyak 3,015 kertas siasatan membabitkan kes perjudian sejak Januari hingga Julai lalu.
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia menumpaskan 61 sindiket perjudian sejak Januari hingga Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, dalam tempoh yang sama, sebanyak 3,015 serbuan telah dilakukan ke atas premis perjudian haram.

"Seramai 5,590 orang telah diberkas, sejumlah 9,817 peranti elektronik dan wang tunai sebanyak RM1.046 juta telah dirampas.

"Dalam tempoh sama, sebanyak 3,015 kertas siasatan dibuka," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Huzir berkata, sebanyak 4,368 serbuan ke atas premis perjudian dilakukan dan 4,368 kertas siasatan telah dibuka sepanjang tahun lalu.

"Dalam tempoh sama, 32 sindiket ditumpaskan dan seramai 10,303 orang ditangkap.

"Kita turut merampas 22,884 peranti elektronik dan wang tunai berjumlah RM1.31 juta," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah telah mengambil tindakan di bawah undang-undang pencegahan iaitu Prevention of Crime Act (POCA) 1959 terhadap individu yang terlibat aktiviti perjudian haram.

"Sebanyak 240 fail kes dibuka dan 185 individu telah ditangkap di bawah POCA sepanjang Januari hingga Julai lalu.

"Sebanyak 420 fail kes dibuka dan 372 individu telah ditangkap pada tahun lalu mengikut akta yang sama," katanya.

Huzir berkata, tindakan membanteras perjudian haram diperkasakan lagi dengan tindakan memotong bekalan elektrik ke premis perjudian diserbu oleh polis selaras dengan peruntukan Seksyen 21A, Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Pada tahun lalu, sebanyak 461 premis telah dipotong bekalan elektrik, berbanding 518 premis sejak Januari hingga Julai lalu," katanya.

Huzir berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membatalkan lesen perniagaan premis-premis yang menjalankan aktiviti perjudian haram di seluruh negara.

"Sepanjang tahun lalu, sebanyak dua lesen perniagaan telah dibatalkan oleh PBT berkaitan berbanding empat lesen perniagaan untuk tempoh Januari hingga Julai lalu.

"Kita juga berusaha mencadangkan PBT untuk menyita premis-premis perjudian haram berdasarkan peruntukan undang-undang," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!