Laporan kajian ganti hukuman mati dibawa ke Kabinet

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memuktamadkan isu pemansuhan hukuman mati selepas ia dibincangkan di peringkat Kabinet tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana laporan akhir Jawatankuasa Khas, Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori baru diterima kerajaan pada 17 Julai lalu.

"Laporan Akhir Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori mengandungi syor-syor hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] dan 21 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah.

"Hasil dapatan kajian ini dijangka akan menjawab persoalan sama ada kerajaan bercadang untuk meminda hukuman bagi kesalahan pengedaran dadah kepada hukuman penjara minimum supaya hukuman dapat dijatuhkan berdasarkan fakta setiap kes.

"Selain itu, Jawatankuasa Khas turut mengemukakan cadangan penambahbaikan kepada sistem keadilan di Malaysia untuk jangka masa panjang. Laporan kajian ini dijangka dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan persetujuan," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) sama ada kerajaan akan memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan pengedaran dadah.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, satu Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan pada tahun 2019 untuk melaksanakan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam tempoh empat bulan mulai 20 September 2019 hingga 31 Januari 2020.

Katanya, jawatankuasa itu telah selesai melaksanakan kajian berkaitan polisi penghukuman (sentencing policy) bagi menggantikan hukuman mandatori dengan hukuman yang lebih wajar, tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Artikel Berkaitan: