Perlis dalam proses jadikan harumanis cap dagangan negeri

Harumanis Perlis adalah hak milik eksklusif kerajaan Perlis selepas Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) meluluskan pendaftaran jenama itu pada 2011 sehingga 2021.
Harumanis Perlis adalah hak milik eksklusif kerajaan Perlis selepas Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) meluluskan pendaftaran jenama itu pada 2011 sehingga 2021.
A
A
A

KANGAR - Kerajaan Perlis kini dalam proses menjadikan 'harumanis' sebagai cap dagangannya bagi mengelakkan nama buah mangga yang sinonim dengan negeri itu digunakan oleh pihak lain, demikian persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Nurulhisham Yaakob berkata, pada masa ini harumanis yang dikeluarkan oleh negeri itu menggunakan nama 'Mangga Harumanis Perlis' bagi membezakannya dengan buah mangga dari tempat lain.

Harumanis adalah satu varieti mangga, justeru mana-mana pihak boleh menggunakannya ke atas produk mereka, namun tindakan boleh diambil menurut Akta Petunjuk Geografi 2000 sekiranya mereka menggunakan nama 'Mangga Harumanis Perlis', katanya.

Beliau menjawab soalan Asrul Nizan Abd Jalil (PH-Sena) yang ingin tahu usaha kerajaan negeri dalam memastikan mangga harumanis kekal sebagai produk eksklusif Perlis.

Mengulas lanjut, Nurulhisham berkata, nama 'Mangga Harumanis Perlis' telah didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia oleh Jabatan Pertanian Perlis di bawah Akta Petunjuk Geografi 2000 (Peraturan-Peraturan Geografi 2001).

Penggunaan nama itu berkuat kuasa pada 2 Ogos 2011 dan akan tamat pada 2 Ogos 2021, katanya, menambah perakuan pendaftaran itu adalah jaminan terhadap kualiti mangga harumanis Perlis yang tidak boleh ditandingi produk keluaran tempat lain. - Bernama

Artikel Berkaitan: