Pelancong China masih tinggi di Melaka

Muhammad Jailani menunjukkan statistik kehadiran pelancong luar negara dan dalam negara ke Melaka tahun lalu.
Muhammad Jailani menunjukkan statistik kehadiran pelancong luar negara dan dalam negara ke Melaka tahun lalu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Kerajaan negeri menafikan dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelancongan, berkenaan penurunan 30 peratus jumlah pelancong negara China ke negeri ini pada tahun lalu.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, dakwaan itu jelas tidak berasas dan menyelar tindakan Kelab Perniagaan Pelancongan Melaka (MTBC) bahawa tiada usaha proaktif yang dilakukan kerajaan negeri bagi mempromosikan sektor pelancongan sekali gus menarik kehadiran pelancong ke negeri ini.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa giat melakukan pelbagai bentuk promosi termasuk ke luar negara yang disertai pemain industri ke negara Indonesia, Turki, London, Taiwan dan China bagi mempromosikan produk pelancongan masing-masing.

Katanya berdasarkan statistik yang direkodkan pihaknya, juga mencatatkan pelancong China adalah tertinggi dalam kalangan pelancong antarabangsa dengan jumlah 1.009 juta orang iaitu 30.67 peratus bagi tempoh Januari hingga Jun tahun lalu.

"Jika benar berlaku penurunan pelancong China ke negeri ini, kita nak tahu penurunan itu berdasarkan faktor apa dan mana buktinya.

"Sedangkan kita bekerja keras siang, malam untuk promosikan Melaka dan bila ada tuduhan tak berasas kita benar-benar kecewa kerana sejak PH mengambil alih kerajaan negeri telah melaksanakan integrasi bagi membantu pemain industri dalam sektor ini," katanya.

Muhammad Jailani yang juga Adun Rembia berkata, selain negara itu, kehadiran pelancong negara lain ke Melaka turut dicatatkan termasuk Singapura (765,989 orang), Indonesia (395,729 orang), Korea Selatan (129,991 orang) dan Vietnam (103,334 orang).

"Pihak berkenaan perlu tampil untuk menunjukkan bukti tersebut, malah integrasi yang kita lakukan bagi membantu pemain-pemain dalam bidang ini yang mana sebahagian kosnya turut ditanggung dan dibantu oleh kerajaan negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan, menyiarkan mengenai penurunan jumlah pelancong ke Melaka, terutamanya dari China dan tiada usaha dilakukan pihak berkenaan untuk menangani kemerosotan itu.

Presiden kelab itu, Chew Chert Fong, berkata, MTBC menganggarkan bilangan ketibaan pelancong ke negeri ini, terutamanya dari China, menurun sebanyak 20 peratus hingga 30 peratus pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.