X

Kindly register in order to view this article
!

Guru bahasa Arab didakwa rogol, liwat pelajar

Muhammad Nursalam (kanan) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini.
A
A

PASIR MAS - Seorang guru bahasa Arab didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan merogol dan satu pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang pelajarnya pada Julai dan awal bulan ini.

Tertuduh, Muhammad Nursalam Hazeman, 30, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Rosly Mohamed Nawi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, guru bahasa Arab itu didakwa merogol seorang remaja berusia 14 tahun tersebut di sebuah rumah di Wakaf Bharu, Tumpat sekitar jam 2.30 petang pada 3, 10, 17 dan 24 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan untuk kesalahan tersebut.

Bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii di lokasi sama pada 1 Ogos lalu sekitar jam 3 petang.

Kesalahan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang juga membawa hukuman penjara selama 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faizuan Sulaiman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 13 September ini bagi sebutan semula kes.