X

Kindly register in order to view this article
!

Wang tunai RM422,800, 14,000 riyal dilucut hak

Shahril (kanan) dan isterinya ketika hadir di mahkamah hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan wang tunai berjumlah RM422,800 dan mata wang 14,000 riyal milik bekas Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan) Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Shahril Ismail yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilucutkan hak kepada kerajaan Malaysia.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut mengembalikan mata wang dan item lain yang disita kepada Shahril, 52, dan isterinya, Saidatul Marsila Mokhtar, 48.

Hakim Datuk Azman Ahmad memutuskan keputusan terbabit selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan Shahril selaku responden pertama dan isterinya sebagai responden kedua yang diterima melalui representasi pada 4 Ogos lalu melalui terma yang dipersetujui kedua belah pihak.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim, turut memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menerima representasi yang dikemukakan oleh pihak responden.

Peguam mewakili kedua responden, Mohd Aizat Fakri mengesahkan perkara itu dan tidak membantah.

Sementara itu Mohd Aizat ketika ditemui di luar mahkamah berkata, Shahril akan mendapat semula beberapa mata wang lain termasuk dari negara Singapura, New Zealand, Amerika Syarikat dan Australia yang telah disita.

Beliau berkata, Shahril dan isterinya juga akan mendapat semula wang simpanan Tabung Haji dan sebuah pangsapuri milik mereka yang disita.

Sebelum ini kesemua harta milik Shahril dan isterinya disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Seksyen 41(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Pada 15 Julai lalu, pihak responden telah mengemukakan satu representasi dan memohon mahkamah untuk menukar pangsapuri yang dilucuthakan itu dengan sebuah rumah landed yang nilainya lebih tinggi atas alasan rumah pangsapuri tersebut didiami oleh anak beliau.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!