X

Kindly register in order to view this article
!

'Penguatkuasaan, kesusahan rakyat perlu seimbang'

Annuar meninjau keadaan Taman Tasik Titiwangsa dan bertemu peniaga di sana semalam.
A
A

KUALA LUMPUR - Jangan melihat isu penjaja dari sudut penguatkuasaan sahaja sebaliknya kesusahan rakyat yang terjejas kesan pandemik koronavirus (Covid-19) juga perlu diambil kira, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas rakaman video tindakan penguatkuasaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menyita barangan penjaja di Taman Tasik Titiwangsa yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menurutnya, untuk bersikap adil, beliau perlu mendapatkan penjelasan daripada pentadbiran DBKL berhubung insiden itu.

"Dalam mesyuarat, saya sudah diberikan penerangan serba sedikit berhubung perkara itu dan turun bertemu peniaga bagi mendapatkan gambaran situasi.

"Peniaga yang sudah berniaga lama di sini mendakwa tidak berpeluang meniaga kerana kawasan telah dipagar selain tidak memenuhi syarat untuk proses tender," katanya pada sesi Live di Facebook Wilayahku semalam.

Kelmarin, pemilik akaun Facebook, Cikgu Izzat Johari berkongsi video berdurasi tiga minit 14 saat dengan tajuk 'Di mana sifat kemanusiaan'.

Ia susulan meja lipat dan barang milik dua penjaja wanita diangkut DBKL kerana berniaga di siar kaki di taman riadah berkenaan.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, soal penguatkuasaan itu penting namun yang lebih merisaukannya sekiranya rakyat tidak mahu bekerja dan memilih jalan mudah dengan mencuri atau menyamun.

"DBKL sudah jalankan tugas mereka dengan baik namun ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian terutama soal rakyat yang nak cari makan, perlu dibantu dan jangan disusahkan.

"DBKL perlu mencari kaedah supaya kawasan bersih dan pengguna selamat. Kalau yang berniaga perlu ada garis panduan supaya Tasik Titiwangsa diurus dengan cara baik," katanya.

Sementara itu, DBKL menerusi satu kenyataan memaklumkan kejadian berlaku 8 Ogos lalu susulan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan pihaknya selama dua tiga hari bermula 7 Ogos hingga 9 Ogos.

Kenyataan sama menyebut, DBKL telah mengeluarkan amaran awal secara lisan dan bertulis kepada semua aktiviti perniagaan tanpa lesen seminggu sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!