X

Kindly register in order to view this article
!

Geng Man Halil Waha tumpas

Sebahagian daripada 18 rangka motosikal yang ditemui di kawasan curam Felda Bukit Waha, Kota Tinggi selepas tumpasnya Geng Man Halil Waha yang aktif mencuri motosikal sejak awal tahun ini.
A
A

KOTA TINGGI - Geng Man Halil Waha yang aktif mencuri motosikal sejak awal tahun ini tumpas dengan tertangkapnya empat lelaki tempatan di beberapa lokasi di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, tangkapan awal melibatkan tiga suspek berusia 17 hingga 32 tahun pada 27 Julai lalu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

"Kemudian Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Tinggi membuat satu lagi tangkapan lelaki tempatan berusia 17 tahun di Kota Kechil pada jam 12.30 tengah hari, 5 Ogos lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, hasil soal siasat ke atas empat lelaki itu, pihak polis merampas 18 rangka motosikal pelbagai jenis membabitkan nilai rampasan kira-kira RM120,000 di kawasan curam Felda Bukit Waha di sini.

Menurutnya, kumpulan itu aktif mencuri sejak Januari lalu dengan modus operandi menggunakan allen key yang diubah suai untuk menghidupkan motosikal yang dicuri.

"Pihak polis juga telah dapat menyelesaikan 30 kes curi motosikal di daerah Kota Tinggi dengan tertangkapnya kumpulan ini," ujarnya.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati kumpulan itu terlibat dalam kes-kes kecurian motosikal di daerah bersempadan dengan Kota Tinggi termasuk di Johor Bahru.

"Kesemua tangkapan masih dalam siasatan polis dan direman sehingga 18 Ogos ini. Semakan mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah," katanya.

Beliau berkata, pihak polis masih mengesan tiga individu yang sudah dikenal pasti terlibat dan bersekongkol dengan kumpulan tersebut.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku jenayah kecurian motosikal ini dengan pertuduhan di mahkamah mahupun di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca)," katanya.

Mereka yang melakukan jenayah itu katanya, akan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu jenayah mencuri kenderaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun, jika sabit kesalahan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!