Kementerian Luar Negeri teliti kaedah bantu Lubnan

Mohd Redzuan Md Yusof
Mohd Redzuan Md Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Luar Negeri sedang meneliti beberapa kaedah yang boleh dilaksanakan bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Lubnan yang terjejas teruk akibat tragedi letupan di Beirut baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, perkara itu akan dimuktamadkan segera sebaik penilaian menyeluruh dibuat.

Menurutnya, buat masa ini sumbangan disalurkan melalui Pertubuhan Palang Merah Lubnan (LRC).

"Dalam berkongsi kesedihan dan penderitaan rakyat Lubnan, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 8 Ogos 2020 telah mengumumkan bahawa kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan sebanyak RM1 juta yang akan disalurkan kepada LRC.

"Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pada 10 Ogos 2020 telah mengeluarkan surat kebenaran berbelanja kepada Kementerian Luar Negeri bagi bayaran sumbangan kepada LRC," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Dr Kelvin Yii Lee Yuen (PH-Bandar Kuching) sama ada kerajaan merancang untuk memberi bantuan kepada Lubnan selepas letupan bom di Beirut yang mengakibatkan lebih 100 terkorban manakala ribuan lagi cedera.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan mengenai penglibatan rakyat Malaysia dalam tragedi itu, Mohd Redzuan berkata, setakat ini tiada rakyat Malaysia yang terkesan akibat tragedi letupan di Pelabuhan Beirut itu.

Katanya, ia berdasarkan maklumat terkini yang diperolehi beliau.

Artikel Berkaitan: