Terbitan pertama Sukuk Wakalah TNB bernilai RM3 bilion terlebih langgan

Amir Hamzah
Amir Hamzah
A
A
A

TERBITAN pertama nota kewangan jangka sederhana Islam Tenaga Nasional Berhad (TNB) RM3 bilion (Tawaran) di bawah Program Sukuk Wakalah dengan nilai nominal sehingga RM10 bilion mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelabur dalam dan luar negara.

Tawaran itu berjaya ditetapkan pada 29 Julai lepas selepas proses rundingan selama satu hari dan telah berjaya menarik minat pelbagai pelabur dalam pasaran modal, meskipun dalam keadaan pasaran global yang mencabar akibat penularan koronavirus (Covid-19).

“Terbitan Sukuk ini terlebih langgan hampir empat kali dengan permintaan pada jumlah keseluruhan langganan bernilai RM7.82 bilion diterima pada kemuncak proses rundingan daripada lebih 41 akaun melibatkan pengurus dana, firma insurans hayat, dana persaraan, bank dan syarikat korporat.

“Ia disebabkan oleh strategi rundingan yang cemerlang dan permintaan kukuh diterima ketika rundingan, Tawaran telah ditingkatkan ke RM3 bilion,” menurut sayrikat itu dalam satu kenyataan semalam.

Sehingga kini, Tawaran berkenaan adalah terbitan AAA korporat terbesar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikuatkuasakan bagi menghadapi pandemik Covid-19.

Ia juga adalah terbitan yang mempunyai tempoh matang terpanjang (20 tahun) diterbitkan oleh syarikat korporat tahun ini, seterusnya mencerminkan permintaan tinggi pelabur untuk penawaran kredit yang berkualiti tinggi seperti TNB.

Program Sukuk Wakalah telah diberi penarafan AAA oleh RAM Rating Services Berhad.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, TNB amat berpuas hati dengan sambutan daripada pelabur terhadap transaksi berkenaan dan harga yang ditetapkan bagi ketiga-tiga bahagian (tranches) Sukuk kebanyakannya berada dalam lingkungan harga dagangan pasaran sekunder bagi sukuk TNB yang lain.

Artikel Berkaitan:

“Permintaan yang tinggi daripada pelabur adalah petanda jelas keyakinan pasaran modal terhadap TNB dan kelestarian jangka panjang perniagaan TNB,” katanya.

Hasil daripada terbitan Sukuk ini akan digunakan TNB untuk tujuan am korporat, termasuk modal kerja dan perbelanjaan modal sukuk TNB yang lain.