Caruman Perkeso nelayan dibuat secara tahunan

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk nelayan akan dibuat secara tahunan melalui potongan Sistem Program Insentif Nelayan (FIP).

Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam satu kenyataan memberitahu, pemotongan itu akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut kelayakan pencarum yang menerima bayaran Elaun Sara Hidup Nelayan (ESH).

“Selaras dengan Pewartaan Perintah Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Pindaan Jadual Pertama 2019), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah mengambil tindakan bagi merealisasikan dan menyahut pewartaan ini untuk mencarum golongan yang bekerja sendiri termasuklah nelayan.

“Antara tindakan-tindakan yang telah dilaksanakan selaras dengan pewartaan tersebut ialah LKIM telah mendapatkan kelulusan penggantian caruman insurans berkelompok nelayan kepada SKSPS,” kata kenyataan tersebut semalam.

Menurut kenyataan itu, LKIM telah mengadakan sesi perbincangan dan menyampaikan taklimat berkaitan SKSPS kepada nelayan di seluruh negara secara berperingkat.

“Platform Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan juga dilihat sebagai medium terbaik dalam menyalurkan hebahan kepada kumpulan itu memandangkan pihak Perkeso juga terlibat dalam sesi tersebut,” katanya.

Selain itu katanya, sesi menandatangani memorandum persefahaman di antara LKIM dan Perkeso juga telah dimeterai pada 9 Ogos lalu untuk membolehkan caruman SKSPS ke atas 42,000 nelayan yang menerima ESH.

Kenyataan turut memaklumkan, di peringkat permulaan pemotongan akan membabitkan 3,879 nelayan zon A (pemilik dan awak-awak) serta nelayan zon B,C dan C2 (awak-awak) dengan caruman sebanyak RM157.20 pada 15 Ogos 2020 untuk sekali potongan dalam tempoh setahun.

“Semua nelayan diwajibkan dan digalakkan mencarum melalui Perkeso. Ianya adalah bertepatan dengan saranan kerajaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Artikel Berkaitan:

“Implikasi pelaksanaan ini ialah nelayan yang menerima ESH tidak lagi diinsuranskan oleh pengendali syarikat insurans atau takaful sebaliknya diganti kepada Perkeso.

“Nelayan juga merupakan golongan terawal yang mencarum SKSPS di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan,” katanya.

Tambahnya, nelayan yang tidak menerima ESH digalakkan membuat caruman SKSPS secara sukarela di mana-mana kaunter caruman pendaftaran SKSPS di Perkeso seluruh negara.

“Sebagai penambahbaikan, usaha untuk mendidik dan memberi kefahaman berkaitan caruman SKSPS ini akan terus dilaksanakan oleh pihak LKIM dan Perkeso secara berterusan pada masa akan datang,” katanya.