X

Kindly register in order to view this article
!

Mansuh hukuman mati kes edar dadah antara tumpuan hari ini

Ramkarpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) dijadual mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri bagi mengetahui sama ada kerajaan akan memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan pengedaran dadah. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Isu pemansuhan hukuman mati bagi kesalahan pengedaran dadah dan perkembangan terkini Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara antara perkara yang bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Ramkarpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) dijadual mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri bagi mengetahui sama ada kerajaan akan memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan pengedaran dadah.

Beliau juga bertanyakan soalan sama ada kerajaan bercadang untuk meminda hukuman bagi kesalahan pengedaran dadah kepada hukuman penjara minimum supaya hukuman dapat dijatuhkan berdasarkan fakta setiap kes sekiranya pemansuhan hukuman mati dipersetujui.

Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) pula dijadual bertanyakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan mengenai kerangka dasar sekuriti makanan negara yang dirangka Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara bagi memastikan kestabilan dan kemampanan bekalan makanan negara.

Selain itu, isu sisa radioaktif kilang Lynas dijadual akan dibangkitkan Wong Tack (DAP-Bentong) yang meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan apakah tarikh akhir bagi semua sisa radioaktif WLP dipindahkan dari tapak kilang Lynas memandangkan AELB sendiri menyatakan ia perlu disegerakan disebabkan risiko banjir.

Beliau turut meminta kerajaan menyatakan pelan 'emergency response' sekiranya banjir besar di Gebeng, Pahang pada tahun 2012 berlaku sekali lagi.

Seterusnya, persidangan Dewan Rakyat akan menyambung penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong membabitkan Jabatan Perdana Menteri.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!