Berani Semuka buka peluang rakyat buat penilaian

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kesediaan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf dan bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim untuk terlibat dalam program Berani Semuka anjuran Sinar Harian akan membolehkan rakyat membuat penilaian berhubung polemik pengurusan TH.

Presiden Pertubuhan Alumni Debat Malaysia, Ustaz Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Ustaz Syamsul Debat berkata, rakyat atau penonton perlu mendengar dengan teliti hujah yang disampaikan kedua-dua tokoh itu dan boleh membuat penilaian pada penghujung program.

"Kedua-dua pihak perlu bersedia kerana debat adalah seni bercakap. Ia bukan hanya lontaran kata-kata yang manis, kata-kata menarik tetapi yang paling mustahak keupayaan kita berhujah dengan fakta dan bukti yang boleh difahami.

"Sebab kadang-kadang ada orang, dia mempunyai bukti yang bagus tapi ada juga yang ada bukti dan hujah baik tapi gagal disampaikan dengan baik. Perkara ini juga boleh menyebabkan orang tidak meyakini apa yang disampaikan itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Justeru, beliau menegaskan, pendebat perlu memiliki kedua-dua perkara itu iaitu bukan hanya dari segi penyampaian yang menarik tapi juga perlu mempunyai bukti yang mencukupi.

"Kalau tidak ia hanya akan bersifat retorik. Sedap bercakap tapi ibarat tong kosong sahajalah. Dia bunyi kuat tapi tak ada isi.

"Dalam berhujah, bukan sahaja bercerita tentang perkara yang telah buat dan bercadang akan buat tetapi perlu buktikan atau tunjukkan dengan kejayaan atau statistik. Insya-ALLAH itu lebih meyakinkan orang," katanya.

Mengulas lanjut, menurutnya, kadangkala ada orang yang mempunyai bukti yang bagus tapi gagal menyampaikan hujah dengan baik dan ia juga boleh menyebabkan orang tidak meyakini apa yang disampaikan itu.

Artikel Berkaitan:

Ekoran keadaan itu, Syamsul Debat berkata, kadangkala debat juga tidak dapat menyelesaikan polemik kerana penghujah membuka ruang dan peluang untuk semua orang menilai sejauh mana kefahaman pihak tertentu tentang sesuatu perkara.

"Jadi kepada semua pendengar, saya menasihatkan jangan taksub dengan sesuatu pihak, lebih baik mendengar dengan teliti, beri peluang kepada kedua-duanya untuk berhujah. Di penghujungnya barulah buat penilaian.

"Nilailah dari sudut yang matang, berfikiran terbuka dan bukannya bersikap taksub dan juga mengecam mana-mana pihak," katanya.

Bagi memperoleh hikmah daripada program itu, beliau juga menyarankan pendengar untuk membuat catatan agar memahami hujah yang disampaikan dan seterusnya membuat penilaian daripada pertembungan hujah terbabit.

Sementara itu, bekas pendebat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Zainal Asnawi Asyraf berkata, debat antara Mujahid dan Azeez itu menjadi medium terbaik untuk menjelaskan tentang isu semasa kepada rakyat.

"Diharapkan pencerahan dapat diberikan dengan dengan baik oleh kedua-dua pihak secara profesional dalam wacana ilmu ini. Ia bukan satu perdebatan untuk menentukan siapa menang siapa kalah tapi lebih kepada untuk kita memberi penjelasan kepada rakyat.

"Harapan saya kepada semua penonton untuk mengawal emosi dan membiarkan perdebatan berlangsung dan sama-sama mencerna informasi yang akan diberikan kedua-dua figura politik itu," katanya.

Katanya, beliau juga berharap agar program itu diperbanyakkan lagi pada masa akan datang supaya dapat lebih mengimarahkan medium komunikasi yang lebih kritis dan kritikal untuk masyarakat secara amnya.

Dalam pada itu, seorang lagi bekas pendebat UKM, Arvend Aplasamy memberitahu, kesediaan kedua-dua tokoh itu untuk berhujah di atas satu pentas amat dinantikan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama kerana isu TH melibatkan integriti dan tadbir urus kerajaan.

"Jadi memang rakyat nak tahu adakah kerajaan BN mengkhianati rakyat atau adakah kerajaan PH yang mentadbir negara selama 22 bulan menjual aset TH.

"Ini bukan isu yang bersifat perkauman kerana semua rakyat berhak untuk mengetahuinya. Semuanya dapat dinilai menerusi hujah yang akan disampaikan kedua-dua pemimpin yang mewakili parti pada zaman pemerintahan mereka," katanya.