Presma gesa kaji semula larangan pekerja asing barisan hadapan

Jawahar (duduk, kanan) bersama sebahagian ahli Presma mengadakan pertemuan dan menyerahkan memorandum Ismail Sabri di Parlimen di sini hari ini.
Jawahar (duduk, kanan) bersama sebahagian ahli Presma mengadakan pertemuan dan menyerahkan memorandum Ismail Sabri di Parlimen di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menggesa pihak kerajaan mengkaji semula arahan pekerja asing tidak dibenarkan bekerja sebagai pekerja barisan hadapan.

Berikutan itu, Presidennya, Datuk Jawahar Al Taib Khas bersama sebahagian ahli Presma mengadakan pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan di Parlimen hari ini bagi membincangkan cadangan berkenaan.

"Alhamdulillah, beliau berjanji akan cuba mengkaji semula dasar tersebut. Kami turut memohon penguatkuasaan dasar tersebut perlu ditangguhkan sekurang-kurangnya untuk tempoh dua hingga tiga tahun sebelum ia dilaksanakan

"Perkara ini juga dikongsikan dengan Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Antarabangsa, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar yang akan membincangkan semula dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook Presma.

Kerajaan sebelum ini tidak membenarkan pekerja asing berada di barisan hadapan dalam beberapa sektor termasuklah di stesen minyak dan kedai makan.

Ia bertujuan memastikan warga tempatan terutama belia diutamakan bekerja kerana golongan itu bakal menentukan hala tuju negara.

Pada masa sama, Presma turut mengadakan pertemuan dan menyerahkan memorandum kepada Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan isu-isu dihadapi peniaga.

"Antara isu-isu yang kami bangkitkan adalah berkenaan penyelarasan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di semua premis.

Artikel Berkaitan:

"Menteri menyambut baik dan berjanji akan meneliti memorandum yang diserahkan selain akan cuba membantu perkara-perkara yang dibangkitkan Presma,” katanya.

Jawahar berkata, tujuan memorandum berkenaan diserahkan supaya pihak kerajaan dapat menyelaraskan SOP agar dapat digunakan di seluruh negara bagi memudahkan bukan sahaja peniaga malah pelanggan yang datang.

"Ini kerana terdapat terdapat perbezaan dari segi jumlah pelanggan dibenarkan berada di dalam premis yang menyebabkan urusan perniagaan tidak lancar," katanya.