Medan merungkai masalah TH

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menaruh harapan besar agar segala masalah membabitkan Tabung Haji (TH) dapat dirungkai apabila dua bekas tokoh penting yang pernah menerajui dan memantau institusi kewangan Islam itu bertemu Jumaat ini.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, ini kerana selama ini rakyat tidak mendapat maklumat yang jelas berhubung kontroversi yang melanda TH itu sehingga menimbulkan pelbagai persepsi negatif.

Sehubungan itu katanya, Program Berani Semuka yang akan menampilkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim itu akan menamatkan segala kekeliruan.

"Kita sebenarnya, tidak dapat maklumat yang tidak jelas dalam beberapa perkara, contohnya kita tidak tahu betul ke dulu TH dijual, contohnya.

"Jadi kita harap perkara ini dapat diperjelaskan apa yang tidak kena. Kita hendak penjelasan, kita hendak benda yang benar, kita pun dah letih duduk dalam kegelapan.

"Diharap pertemuan ini akan merungkaikan segala masalah membabitkan TH dan rakyat hendak dengar (penjelasan Dr Mujahid dan Abdul Azeez)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Program Berani Semuka anjuran Sinar Harian yang mempertemukan Dr Mujahid dan Abdul Azeez pada Jumaat ini.

Program julung kali diadakan itu bagi menjawab segala kekeliruan selepas Dr Mujahid dan Abdul Azeez sering bertegang urat setiap kali isu membabitkan TH dibangkitkan terutamanya dalam persidangan Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, sudah tiba masanya isu membabitkan institusi kewangan Islam itu diselesaikan selepas terpalit dengan pelbagai kontroversi.

"Kita menanti untuk mendengar kedua-dua belah pihak membuka cerita masing dan kita sebagai rakyat akan jadi hakim dan mengadili perkara tersebut," katanya.

Menurutnya, sudah terlalu lama umat Islam berada dalam huru-hara apabila isu membabitkan kontroversi TH tidak diselesaikan.