X

Kindly register in order to view this article
!

Normal baharu catat sejarah sambutan Hari Kebangsaan

Perbarisan disertai jabatan, agensi kerajaan, pihak swasta serta para anggota pasukan keselamatan melangkah gagah dalam acara perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan. Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini pastinya melakar sejarah baharu kepada rakyat Malaysia apabila buat julung kalinya, acara perbarisan dan perarakan mengikut norma baharu akan disiarkan melalui saluran televisyen.

Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Mohammad Diah Wahari berkata, acara itu akan dirakam lebih awal secara berasingan bagi setiap kontinjen yang dikenal pasti bertujuan mengurangkan perhimpunan ramai selain memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan pandemik koronavirus (Covid-19) dipatuhi.

“Tahun ini, kerajaan tidak akan mengadakan sebarang acara perbarisan dan perarakan seperti sebelum ini. Acara kali ini akan diadakan di Dataran Pahlawan, Putrajaya dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memeriksa kawalan kehormat utama.

“Seterusnya baginda akan mencemar duli menyaksikan siaran langsung yang akan disediakan pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM),” katanya selepas menjadi tetamu program @Radio di Bernama Radio bertajuk Bulan Kebangsaan 2020 ‘Malaysia Prihatin’ hari ini.

Memperincikan sambutan bertema Malaysia Prihatin itu, Mohammad Diah berkata, RTM diberi tanggungjawab menyunting rakaman menggunakan teknologi realiti gabung yang terdiri daripada realiti terimbuh dan teknologi 3D CGI (Imej Janaan Komputer).

Beliau mengajak rakyat untuk bersama-sama meraikan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-63 dengan menonton siaran RTM agar turut merasai kemeriahannya walaupun tidak dapat menyaksikan perarakan kontinjen beruniform, aset keselamatan dan persembahan acara simbolik secara langsung di lokasi.

“Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama memeriahkan sambutan dengan norma baharu walau di mana sahaja kita berada tanpa mengira umur, bangsa dan agama. Hargailah perjuangan pejuang terdahulu memperjuangkan kemerdekaan negara,” katanya.

Mohammad Diah turut mengajak rakyat negara ini mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing selain menyertai pelbagai program kenegaraan anjuran KKMM, Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) dan RTM sebagai tanda patriotik kepada negara.

Mengulas mengenai program kenegaraan, beliau berkata antara yang sedang dan akan diadakan ialah [email protected], Sayembara Sajak Merdeka, pertandingan fotografi [email protected] 2020, Webinar Rukun Negara, e-Treasure Hunt, Kapsul ‘Terima Kasih Hero’ dan konsert Kita Merdeka 1957-2020.

Sambutan kali ini menyaksikan logo berbentuk hati menjadi pilihan selepas kali terakhir ia digunakan pada 2016 dengan warna bendera Jalur Gemilang menjadi latarnya, yang melambangkan keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Logo dan tema Hari Kebangsaan diperkenal ketika Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Julai lalu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!