X

Kindly register in order to view this article
!

Hilman usaha bina jenama sendiri

HILMAN. Foto: Rosli Talib
A
A

MINAT mendalam terhadap perniagaan mendorong usahawan muda, Muhamad Noor Hilman Mohd Yatim, 32, meninggalkan kerjayanya sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta di ibu negara.

Anak jati Terengganu itu sedikit pun tidak menyesal meninggalkan kerjaya berkenaan walaupun ia menjanjikan pendapatan lumayan.

Pengasas Souls International Sdn Bhd (Souls International) itu berkata, beliau memilih menceburkan diri dalam perniagaan kerana bidang tersebut mampu membantu menjana ekonomi orang di sekelilingnya.

Di samping itu, katanya, beliau memilih bidang berkenaan kerana berniaga merupakan cita-citanya sejak kecil.

“Saya tidak memiliki pendidikan formal dalam bidang perniagaan tetapi saya memiliki kelebihan lain iaitu petah berbicara.

“Dengan adanya kelebihan ini, saya mempelajari selok-belok perniagaan tanpa jemu kerana saya yakin akan berjaya dalam bidang ini,” katanya kepada Bisnes Sinar.

Hilman menunjukkan teknologi finger print yang terdapat pada beg tangan ciptaannya.
Hilman menunjukkan teknologi finger print yang terdapat pada beg tangan ciptaannya.

Selama 10 tahun berkecimpung dalam berkenaan, Hilman kini mempunyai empat cabang perniagaan iaitu menghasilkan kasut dan beg tangan; peralatan perubatan; pereka produk dan spa.

Bagaimanapun, cabang perniagaan yang menjadi keutamaan syarikat dikendalikan oleh beliau itu ialah produk kasut dan beg tangan.

Walaupun tidak mempunyai latar belakang sebagai pereka fesyen, namun bidang tersebut sebati dalam dirinya.

Katanya, beliau banyak membaca buku dan merujuk kepada pemain industri untuk menceburkan diri dalam perniagaan tersebut.

Menurutnya, di bawah cabang perniagaan tersebut, beliau berjaya menghasilkan kasut jenama sendiri iaitu Hilman Authentic.

Modal RM5,000

“Dengan modal RM5,000 saya memulakan perniagaan Hilman Authentic pada 2017.

“Pada ketika itu, saya menghasilkan sampel kasut yang boleh menambah ketinggian tujuh sentimeter (cm) dan direka seakan-akan kasut pegawai tentera dan polis,” katanya.

Beliau berkata, usahanya itu tidak sia-sia apabila kasut dihasilkan mendapatkan perhatian pengguna yang terdiri daripada anggota keselamatan negara.

“Berbekal lima saiz, saya mempromosikan kasut ini kepada anggota polis dan tentera. Alhamdulillah, saya mendapat tempahan sebanyak 400 pasang.

“Ketelitian saya menghasilkan produk meyakinkan saya untuk mempromosikan kasut tersebut kepada pasukan keselamatan negara,” katanya.

Susulan itu, Hilman berkata, beliau terus berinovasi menghasilkan pelbagai rekaan kasut termasuk but taktikal yang menggunakan hampir 100 peratus material kevlar, sekali gus menjadikannya sebagai kasut yang memiliki ciri keselamatan paling tinggi di dunia.

Hilman menunjukkan teknologi finger print yang terdapat pada beg tangan ciptaannya.
Hilman menunjukkan teknologi finger print yang terdapat pada beg tangan ciptaannya.

Di samping itu, katanya, but kalis air yang dihasilkan itu turut dilengkapi dengan sistem kunci pintar (SLS) bagi memudahkan anggota memakainya dalam tempoh empat saat sahaja.

Jelasnya, idea menghasilkan but berkenaan tercetus berdasarkan pada pengalamannya ketika belajar di Maktab Tentera Diraja (MTD).

“Dalam kalangan pasukan keselamatan, mereka kerap berdepan dengan kesukaran memakai but seperti ikatan mudah terungkai, kaki cepat melecet dan sebagainya.

“Oleh itu saya memilih kevlar dan SLS bagi membantu mengatasi masalah dihadapi mereka,” katanya.

Tambahnya, but taktikal yang dihasilkan itu bukan sahaja untuk pasukan keselamatan negara malah ia juga sesuai digunakan oleh individu aktif yang terlibat dalam sukan lasak.

Teknologi canggih

Selain menghasilkan kasut, Hilman berkata, beliau juga menghasilkan beg tangan yang menampilkan pelbagai rekaan dan teknologi canggih.

Jelasnya, beg tangan jenama Geboo yang dihasilkan pada 2019 itu turut mempunyai reka bentuk unik, cantik, elegan dan kemas.

“Saya menceburi bidang perniagaan ini kerana melihat penguasaan produk beg tangan dalam pasaran mencatatkan permintaan yang tinggi.

“Saya berkeyakinan kelainan yang saya cuba tampilkan pada beg tangan ini akan memenuhi kehendak pembeli, terutamanya dalam kalangan wanita,” katanya.

Beliau berkata, beg tangan yang dijual bermula pada harga RM300 itu dijangka berada di pasaran pada akhir Ogos ini.

Katanya, beliau menyasarkan jualan sebanyak 5,000 unit sebaik sahaja produk berkenaan dilancarkan.

“Kami merancang untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya lima koleksi beg tangan baharu menjelang akhir tahun ini.

“Kesemua koleksi beg tangan ini boleh didapati di platform e-dagang kami iaitu hilmanandco.com,” katanya.

Tambahnya, beliau juga akan mengeluarkan koleksi beg tangan baharu yang dilengkapi teknologi beacontracker, finger print dan power bank pada Disember ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!