Anak penduduk India selatan jadi calon naib presiden AS

Gambar fail menunjukkan Kamala Harris menyatakan sokongannya ke tas calon Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden di Detroit, Michigan pada 9 Mac lalu. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan Kamala Harris menyatakan sokongannya ke tas calon Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden di Detroit, Michigan pada 9 Mac lalu. - Foto AFP
A
A
A

Senator California, Kamala Harris mencatatkan sejarah sebagai wanita pertama kulit hitam dipilih sebagai calon naib presiden Amerika Syarikat (AS) bagi menghadapi pilihan raya presiden AS pada 3 November ini.

Pemilihan itu diumumkan oleh calon Presiden AS, Joe Biden pada Selasa lalu sebagai regu gandingannya bagi mewakili parti Demokrat.

Biden akan berhadapan dengan regu Presiden AS, Donald Trump dan Naib Presiden AS, Mike Pence daripada parti Republikan dan masing-masing mahu mengekalkan jawatan bagi penggal kedua.

Bapa wanita tersebut iaitu Dr Donald Harris dilahirkan di Jamaica dan ibunya, Dr Shyamala Gopalan berasal dari Chennai, selatan India.

Kenyataan itu dibuat sendiri oleh Harris dalam buku riwayat hidupnya.

Bagaimanapun, wanita tersebut yang kini berusia 55 tahun dilahirkan di Oakland, California sekali gus layak menjadi calon naib presiden AS.

Harris juga merupakan wanita kedua berketurunan Afrika Amerika yang dipilih untuk menduduki Dewan Senat AS.

Sebelum ini, Carol Elizabeth Moseley Braun menjadi wanita pertama berkulit hitam menjadi ahli Dewan Senat AS yang berkhidmat dari tahun 1993 sehingga 1999 bagi mewakili negeri Illinois dan parti Demorat.

Artikel Berkaitan:

Bekas Presiden AS, Barack Obama yang mempunyai keluarga tiri dari Indonesia dan juga mewakili parti Demokrat merupakan rakyat berkulit hitam pertama memegang jawatan itu.

Justeru, pemilihan Harris yang merupakan ketua peguam negeri di California mampu membantu memperoleh undi daripada kaum wanita sekali gus memilihnya dan Biden bagi menerajui AS.

Berikutan wanita itu dipilih sebagai calon naib presiden AS, penduduk berketurunan India di negara itu juga berasa teruja.

Seorang anggota parti Demokrat, Ramesh Kapur yang membantu mencari dana kewangan untuk Harris bertanding menjadi senator pada tahun 2016 berkata, pengumuman tersebut merupakan permulaan bagi satu perjalanan ke Rumah Putih.

"Ia merupakan perjalanan untuknya (Harris) menjadi presiden AS pertama berketurunan India," ujarnya.

Seorang lagi ahli strategi parti Demokrat, Shekar Narasimhan berkata: "Satu detik kebanggaan untuk komuniti India."

Menyambut baik keputusan pemilihan Harris, sebuah pertubuhan pembela India-Amerika dan sebuah Jawatankuasa Tindakan Politik berkata, ia akan mencari dana sebanyak AS$10 juta (RM41.97 juta) untuk membantu kempen Harris.

Bagaimanapun, tidak semua rakyat AS berketurunan India yang gembira dengan pencalonan itu.

Calon Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden akan menentang Presiden Donald Trump pada pilihan raya jawatan itu pada 3 November depan. - Foto AFP
Calon Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden akan menentang Presiden Donald Trump pada pilihan raya jawatan itu pada 3 November depan. - Foto AFP

"Ya, akan terdapat perasaan teruja dan kekeliruan selama beberapa minggu dalam kalangan warga AS berketurunan India sama ada mengundi untuk Biden-Harris atau Trump yang mempunyai hubungan hebat dengan India," kata Pengerusi Bersama Jawatankuasa Amerika berketurunan India Trump, Al Mason kepada Hindustan Times.

Harris merupakan rakyat AS berketurunan India yang pertama menyertai parti Demokrat.

Dia berkahwin dengan Doug Emhoff yang juga seorang peguam dan ibu tiri kepada Ella and Cole Emhoff.

Harris mengangkat sumpah sebagai senator dari California pada tahun 2017.

Wanita itu juga adalah senator pertama yang berketurunan Asia Selatan dalam sejarah AS.

Harris dibesarkan di Oakland dan memperoleh ijazah undang-undang dari Universiti of California.

Dia memulakan kerjaya undang-undang di Pejabat Peguam Daerah Alameda dan menjadi peguam daerah San Francisco pada tahun 2003.

Selepas dua penggal, Harris dipilih sebagai ketua peguam negeri di California.

Sementara itu, adik bongsu ibu Harris, Dr Sarala Gopalan memberitahu CNN-News18 bahawa keluarganya di India gembira mendengar berita tentang bakal calon naib presiden itu.

"Seorang rakan kami di AS menghantar mesej (Harris diumumkan sebagai calon naib presiden AS) pada pukul 4 pagi (waktu India)," katanya.

Ibu Harris yang berketurunan Tamil merupakan seorang penyelidik kanser dan aktivis tetapi meninggal dunia pada tahun 2009 akibat barah usus.

Selepas tamat belajar di Universiti Delhi, ibunya itu melanjutkan pelajaran pada peringkat doktor falsafah dalam bidang endokrinologi dan pemakanan di Universiti California Berkely, AS dan kemudian bekerja di Universiti Illinois dan Universiti Wisconsin.

Bagaimanapun, ibunya itu sudah bercerai dengan bapa Harris. - Agensi