Hasut peneroka jual tanah, Felda buat laporan polis

Felda buat laporan polis terhadap pihak yang cuba mempengaruhi peneroka Felda Raja Alias dalam aktiviti membeli tanah rancangan Felda.
Felda buat laporan polis terhadap pihak yang cuba mempengaruhi peneroka Felda Raja Alias dalam aktiviti membeli tanah rancangan Felda.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurusan Rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membuat laporan polis terhadap pihak tidak bertanggungjawab atas cubaan mempengaruhi peneroka Felda Raja Alias dalam aktiviti membeli tanah rancangan Felda.

Unit Komunikasi Korporat Felda dalam satu kenyataan berkata, laporan itu dibuat Pengarah Jabatan Pengurusan Aset dan Hartanah (JPAH) Felda, Ridzuan Mohd Noor dan Ketua Unit Undang-undang Felda, Abbas Nejamdeen di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

"Laporan ini bertujuan melindungi kepentingan Felda dan warga peneroka Felda Wilayah Raja Alias susulan didekati individu-individu tidak dikenali yang mewakili sebuah syarikat bagi tujuan membeli tanah mereka.

"Situasi ini bermula daripada beberapa sesi perjumpaan dengan warga peneroka yang dianjurkan wakil syarikat itu melalui satu sesi pada bulan Mac 2020 tanpa mendapat kebenaran Felda," katanya dalam satu kenyataan hari ini..

Menurutnya, syarikat itu kemudiannya menghantar sepucuk surat melalui peguam kepada Felda dan Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad yang menyatakan minat mengambil alih tanah-tanah ladang peneroka Felda Wilayah Raja Alias untuk projek pembangunan bersepadu.

"Felda menghantar surat maklum balas kepada syarikat itu pada 20 Julai 2020 yang membawa maksud Felda tidak menyokong dan menolak hasrat syarikat itu berkaitan projek ingin dilaksanakan.

"Felda juga mengarahkan syarikat tersebut untuk menghentikan sebarang ceramah, sesi penerangan atau apa-apa aktiviti di kawasan rancangan-rancangan Felda." katanya.

Bagaimanapun, pengurusan Felda menegaskan masih terdapat individu disyaki mewakili syarikat itu ingkar dan tetap menjalankan aktiviti perjumpaan tanpa mendapatkan kebenaran pengurus rancangan.

Artikel Berkaitan:

Pengurusan Felda dalam kenyataan media tersebut turut mendapat makluman individu berkenaan cuba memujuk sehingga memaksa peneroka bersetuju dengan hasrat mereka dalam sesi perjumpaan itu.

"Bahkan mereka memberikan janji-janji di luar kebiasaan norma aktiviti jual beli yang dirasakan agak mustahil untuk dilaksanakan," katanya.

Berikutan itu, pengurusan Felda menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan lanjut bagi menghalang sebarang bentuk aktiviti yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam di kawasan rancangan Felda serta keharmonian warga peneroka Felda.

Pengurusan Felda turut menasihati semua peneroka supaya berhati-hati dan tidak terus terpedaya dengan sebarang tawaran lumayan dari syarikat luar sebelum merujuk kepada Felda.

"Terdapat kes sebelum ini membabitkan peneroka berputih mata selepas kehilangan tanah dan tidak pun mendapat tawaran dijanjikan hingga akhirnya terpaksa hidup dalam kesusahan.

"Felda menegaskan kepentingan warga peneroka untuk mendapatkan pengesahan dan kelulusan Felda terlebih dahulu dalam apa-apa hal yang melibatkan tanah peneroka.

"Felda juga menyeru peneroka untuk tidak terlibat dalam sebarang sesi penerangan yang tidak dihadiri wakil Felda," katanya.