Dinamik pakatan China-Iran-Rusia

A
A
A

Minggu ini, tiga perkembangan penting berlaku serentak yang menyaksikan pakatan strategik China-Rusia-Iran semakin berpengaruh bukan sahaja dalam aspek ekonomi dan ketenteraan, bahkan juga dalam isu vaksin Covid-19.

Perkembangan pertama adalah penegasan terbuka China dan Rusia bahawa mereka akan menggunakan kuasa veto ke atas sebarang usul Amerika Syarikat (AS) untuk melanjutkan dan meningkatkan sekatan ke atas Iran pada Majlis Keselamatan PBB. Bukan sahaja draf usul AS tersebut telah pun tersebar, bahkan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo juga sibuk melobi sekutu AS di Eropah untuk menyokong pendirian Presiden Trump itu.

Bagaimanapun, tiga kuasa utama Eropah iaitu UK, Jerman dan Perancis agak keberatan kerana mereka merasakan pendekatan yang lebih lunak sewajarnya diambil agar saluran diplomatik tidak terputus sepenuhnya dengan Tehran – apatah lagi dalam suasana pandemik Covid-19 belum reda.

Pendirian kuasa Eropah itu memberi isyarat positif buat Tehran dan Rusia serta China. Bagi Rusia, Iran bukan sahaja sekutu utama mereka di Syria, bahkan berpotensi menjadi pelanggan utama pembelian sistem persenjataan dan aset pertahanan buatan Rusia – seandainya sekatan antarabangsa ke atas Iran tidak dilanjutkan.

Perkembangan kedua adalah laporan bahawa China dan Iran bakal menandatangani kerjasama perdagangan dan ketenteraan yang bakal melakar sejarah baharu di pentas geopolitik Asia Barat. Draf kerjasama China-Iran itu dikatakan dipersetujui oleh Presiden China, Xi Jinping dengan Ayatollah Ali Khamenei sendiri.

Dari aspek perdagangan, syarikat China bakal membuat pelaburan besar-besaran di Iran dengan beberapa keistimewaan akan dikurniakan Teheran. Paling mendapat perhatian ialah sektor logistik dan pelabuhan di Selatan Iran. Bukan sahaja China bakal memiliki posisi strategik di Selat Hormuz yang merupakan antara laluan minyak dan gas utama dunia berhampiran Teluk Parsi, bahkan kerjasama yang dicanang sebagai The Lion and Dragon Pact itu turut meliputi sektor keselamatan dan ketenteraan.

Dinamik

Termeterainya perjanjian strategik China-Iran itu bakal melonjakkan kedinamikan sedia ada pakatan antara dua sekutu bilateral; China-Rusia dan juga Iran-Rusia. Jika Iran-Rusia berperanan besar di Syria, China-Rusia pula sebelum ini telah memulakan latihan ketenteraan bilateral di Eropah termasuk di Baltik dan di Asia Pasifik. Maka kini, peluang untuk wujudnya pakatan Rusia-China-Iran bakal memberi cabaran kepada usaha AS yang saat ini sedang mengaktifkan pakatan NATO di Barat dengan Quadrilateral (AS-Australia-Jepun-India) di Indo-Pasifik.

Artikel Berkaitan:

Perkembangan ketiga yang baru mencuri perhatian di seluruh dunia adalah pengumuman Presiden Vladimir Putin bahawa Rusia menjadi negara pertama meluluskan pendaftaran vaksin Covid-19. Meskipun ujian klinikal Tahap Ketiga - ujian peringkat terakhir belum dilepasi, vaksin yang dibangunkan Gamaleya Institute di Moscow itu bakal digunakan dalam pemvaksinan besar-besaran di Rusia pada Oktober ini.

Kejayaan Rusia itu sekali gus menjadikan Moscow kuasa yang bukan sekadar perlu dihormati dari segi teknologi ketenteraan dan angkasa lepas, tetapi juga teknologi perubatan mereka. Untuk rekod, dalam masa beberapa bulan ini sahaja Rusia berjaya memajukan sistem peluru berpandu hipersonik mereka iaitu Avangard dan Zircon - disamping peluru berpandu PL-19 Nudol.

Maka tidak menghairankan apabila Rusia juga antara negara sasaran sekatan antarabangsa tajaan Washington - seperti mana Iran. Perkembangan terbaru kejayaan vaksin Covid-19 Rusia serta persepakatan strategik Iran-China menjanjikan persaingan geopolitik yang getir buat AS. Namun begitu, masa kurang berpihak kepada Washington: sejauh mana Donald Trump mampu bertindak balas bagi melemahkan pakatan ketiga-tiga kuasa ini menjelang pilihan raya Presiden AS penghujung tahun ini?

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda