X

Kindly register in order to view this article
!

Nahas MPV: Miros buat siasatan terperinci

Laporan Sinar Harian hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) akan menjalankan siasatan secara terperinci dan menganalisis punca nahas jalan raya yang menyebabkan tujuh kematian membabitkan kemalangan di Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai, Perak, menghala ke Cameron Highlands, Pahang semalam.

Ketua Pengarah Miros Dr Khairil Anwar Abu Kassim berkata, hasil siasatan akan dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan bagi cadangan penambahbaikan terhadap dasar yang melibatkan keselamatan jalan raya untuk mengelakkan kejadian seperti itu daripada berulang.

Menurutnya, Miros ingin menekankan keperluan rehat yang mencukupi sebelum melakukan perjalanan bagi mengelakkan daripada gejala ‘microsleep’ berlaku dan membolehkan pemandu kekal waspada terhadap pemanduan.

“Miros juga menyarankan perancangan perjalanan dapat dibuat bagi mengelakkan lebihan muatan pada kenderaan kerana ia mempengaruhi kestabilan kenderaan terutamanya terhadap kawalan stereng kenderaan dan tahap kecekapan brek.

“Miros juga berharap pemakaian tali pinggang keledar dapat dijadikan amalan dalam kalangan pengguna jalan raya,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh maut, Alza bertembung lori

Nahas MPV: Saksi sayu terdengar jeritan, tangisan mangsa

Identiti mangsa nahas MPV dikenal pasti

Tujuh sekeluarga selamat dikebumikan

Khairil Anwar berkata, dapatan kajian daripada institut keselamatan di seluruh dunia mengesahkan pemakaian tali pinggang keledar mampu mengurangkan risiko kematian sehingga 50 peratus apabila terlibat dalam perlanggaran.

Beliau berkata, pemakaian tali pinggang keledar yang betul akan menghalang penumpang daripada terhumban di dalam atau tercampak keluar dari kenderaan apabila berlaku hentaman.

“Miros mengingatkan semua pengguna jalan raya sentiasa patuh kepada peraturan jalan raya, pastikan kenderaan dalam keadaan baik dan patuhi had laju yang ditetapkan. Amalkan pemanduan secara berhemah kerana setiap nyawa itu sangat berharga,” katanya.

Semalam media melaporkan tujuh individu maut manakala tiga cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!