Lapan premis makanan kotor diarah tutup

Penguat kuasa kesihatan memeriksa dapur premis makanan dalam operasi serentak di Dungun dan Kemaman semalam.
Penguat kuasa kesihatan memeriksa dapur premis makanan dalam operasi serentak di Dungun dan Kemaman semalam.
A
A
A

KEMAMAN - Lapan premis makanan di Kemaman dan Dungun diarah tutup selama 14 hari kerana beroperasi di bawah tahap penilaian ditetapkan Jabatan Kesihatan Terengganu.

Arahan penutupan itu dikeluarkan jabatan tersebut di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 melalui operasi bersepadu Premis Makanan Bersih yang diadakan selama dua hari berakhir semalam di Kemaman dan Dungun.

Timbalan Pengarah Kesihatan negeri Terengganu (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Che Ghani Sidek berkata, premis itu akan dibenarkan dibuka semula selepas mematuhi arahan dikeluarkan pihaknya.

Menurutnya, dalam operasi diadakan serentak itu sebanyak 47 premis makanan diperiksa dan hasilnya 53 notis kesalahan dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

”Kita juga memeriksa 264 pengendali makanan dan antara kesalahan utama dikesan adalah tiada suntikan pelalian anti-typhoid dan gagal menghadiri Latihan Pengendali Makanan daripada Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) diiktiraf Kementerian Kesihatan (KKM).

”Lain-lain kesalahan yang dikesan adalah berkaitan pemakaian pengendali makanan yang tidak lengkap seperti tidak memakai apron, tidak memakai kasut dan memakai anting-anting semasa mengendalikan makanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keadaan dapur salah sebuah premis makanan yang diperiksa dalam operasi serentak di Dungun dan Kemaman semalam.
Keadaan dapur salah sebuah premis makanan yang diperiksa dalam operasi serentak di Dungun dan Kemaman semalam.

Katanya, seramai 80 penguat kuasa kesihatan terlibat dalam operasi yang mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Kemaman dan Dungun serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Artikel Berkaitan:

”Operasi ini bertujuan memastikan premis makanan yang berniaga dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan.

”Isu kebersihan premis makanan seringkali menjadi perhatian umum dan operasi ini dilaksanakan bagi melindungi kepentingan awam melalui aktiviti penguatkuasaan,” katanya.

Dalam operasi sama, Che Ghani berkata, sebanyak 10 notis telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) atas kesalahan gagal mematuhi syarat-syarat pelesenan PBT berkenaan.

Penguat kuasa kesihatan menampal notis penutupan premis kerana beroperasi dalam keadaan kotor dan di bawah tahap penilaian ditetapkan JKNT dalam operasi serentak di Dungun dan Kemaman semalam.
Penguat kuasa kesihatan menampal notis penutupan premis kerana beroperasi dalam keadaan kotor dan di bawah tahap penilaian ditetapkan JKNT dalam operasi serentak di Dungun dan Kemaman semalam.

Selain itu, dua mesin jual air (MJA) disita kerana gagal mematuhi peruntukan di bawah Peraturan 360 (C)(4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu beroperasi tanpa lesen daripada KKM.

“Kita akan meneruskan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa di seluruh negeri bagi melindungi orang ramai terhadap bahaya dari segi kesihatan dan penipuan dalam penyediaan dan penjualan makanan.

”Adalah menjadi tanggungjawab pemilik dan pengusaha makanan untuk memastikan premis mereka berada dalam keadaan bersih setiap masa dan mematuhi segala peraturan ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.