11 kes baharu Covid-19 termasuk tiga penularan dalam negara

Dr Noor Hisham. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 11 kes baharu positif koronavirus (Covid-19) hari ini melibatkan lapan kes import dan tiga penularan dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini sebanyak 9,114 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 172 kes," katanya.

Menurutnya, lapan kes import terdiri daripada tujuh warga tempatan dan seorang warga asing.

"Mereka mendapat jangkitan dari Singapura (3), Filipina (3), Australia dan Jepun masing-masing satu kes," katanya.

Beliau berkata, dua kes penularan dalam negara dikesan ketika saringan bergejala di sebuah pusat perubatan di Kedah.

"Mereka telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah dan kedua-dua kes melibatkan rakyat tempatan ini tidak berkait rapat antara satu sama lain," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, satu kes dikesan pada saringan tahanan baharu melibatkan warga asing di lokap Balai Polis Tawau, Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga kini terdapat satu kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tidak memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Menurutnya, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan.

"Jumlah kumulatif kes kematian adalah 125 kes bersamaan 1.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Katanya, lapan kes yang telah pulih Covid-19 pada hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 8,817 kes (96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," katanya.