Kerajaan cadang tambah satu juta dekoder MYTV

Zahidi Zainul Abidin
Zahidi Zainul Abidin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memohon untuk menambah satu juta lagi dekoder MYTV untuk siaran televisyen percuma MyFreeview bagi memenuhi permintaan tinggi rakyat terutama di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, kini terdapat 16 saluran televisyen dan enam saluran radio yang disediakan secara percuma dengan kualiti siaran Standard Definition (SD) dan High Definition (HD).

Menurutnya, MYTV adalah syarikat yang mengendalikan MyFreeview sedang berusaha untuk memberi perkhidmatan siaran menerusi pelbagai peranti dan platform serta menawarkan lebih banyak saluran bagi memastikan kepuasan hati rakyat.

"Sekarang ini permintaan MyFreeview cukup tinggi. Kerajaan telah memohon tambahan sebanyak satu juta lagi (dekoder) untuk kita beri perkhidmatan percuma kepada rakyat terutama di luar bandar.

"Walaupun di sesetengah tempat yang tidak ada perkhidmatan jalur lebar kerana capaiannya agak kurang atau kekuatannya tidak sampai, akan ada gangguan untuk mendapat siaran MyFreeview ini. Itu memang kita akui.

"Bagaimanapun, apabila kita cadangkan untuk bagi jaluran 5G, termasuk 700 MHz iaitu spektrum yang dicadangkan, ia akan menjadi lebih baik," katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pas-Pasir Puteh) mengenai langkah kementerian dalam memastikan kepuasan hati rakyat terhadap kualiti dan penerimaan perkhidmatan siaran TV Digital yang telah disediakan melalui MyFreeview.

Artikel Berkaitan: