Dakwa polis, tentera tidak berakhlak keterlaluan: Mufti Perlis

MOHD ASRI
MOHD ASRI
A
A
A

SHAH ALAM - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan kenyataan yang mendakwa kebanyakan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berakhlak, tidak solat, tidak memikirkan soal agama, anak, isteri dan seumpamanya sebagai keterlaluan.

Mohd Asri berkata, pengalamannya mengenali ramai anggota polis dan tentera menunjukkan kadangkala akhlak mereka jauh lebih baik daripada banyak pihak.

"Mereka juga insan dan sebahagian besar mereka itu Muslim. Ramai mereka yang baik amalan agama mereka. Menjaga solat dan zahir pada kehidupan mereka tanda takwa. Sementara yang bukan beragama Islam pun, ramai yang sangat terpuji sikap mereka.

"Perlu kita ingat, atas pengorbanan mereka, kita hidup dengan aman dalam negara kita. Kelemahan memang ada di mana-mana pasukan dan agensi namun keamanan yang kita kecapi jauh lebih baik dibandingkan kebanyakan negara lain. Jika kebanyakan mereka itu buruk, sudah pasti tidak ke tahap ini keamanan kita," katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook beliau hari ini.

Mohd Asri berkata demikian bagi membidas kenyataan pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, 42, atau Asri Janggut melalui satu klip video yang mendakwa kebanyakan polis dan tentera tidak menjaga solat hingga tular serta mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.

Mengulas lanjut, Mohd Asri menegaskan, apa yang perlu diketahui disebabkan tugasan yang laksanakan pasukan keselamatan itulah membolehkan orang ramai menjalani kehidupan dengan aman termasuk pergi ke masjid, sekolah dan tempat kerja.

"Bagi setiap kebaikan yang kita lakukan atas sebab keamanan yang mereka jaga, jika tulus niat mereka, mereka memperoleh pahala yang banyak.

"Uniform dan tugasan adalah pekerjaan mereka namun di sebalik pakaian dan tugas, mereka adalah insan seperti kita. Ada perasaan, ada kehidupan dan ada keluarga. Pastinya ada kalangan mereka yang baik dan ada yang sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

"Janganlah kerana ada kalangan mereka yang berbuat salah, kita menyebut kebanyakan mereka sebagai buruk. Jangan kita lupa budi orang lain," katanya.

Menurutnya, makna budi dan akhlak itu jauh lebih besar dari sekadar ke masjid atau berkopiah semata.

Mohd Asri berkata, pasukan keselamatan yang berjaga malam, menjaga sempadan negara, menjaga jalan raya, menyiasat jenayah, memeriksa ancaman terhadap negara dan pelbagai tugasan lagi, adalah nilai budi yang tidak terbalas.

"Ya, pasti ada yang menyalahgunakan kuasa dan pangkat. Hal itu tidak boleh dinafikan namun jangan kita lupa majoriti yang telah membolehkan keamanan terlaksana dalam negara ini," katanya.

Katanya, ia sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW dalam hadis sahih Riwayat Ahmad yang bermaksud 'Sesiapa yang (tahu) tidak berterima kasih kepada manusia, maka dia tidak berterima kasih kepada ALLAH'.