Meja penjaja disita sebab tak endah amaran: DBKL

Tangkap layar video berdurasi tiga minit 11 saat dengan kapsyen DBKL rampas barang peniaga di Taman Tasik Titiwangsa yang tular di media sosial baru-baru ini.
Tangkap layar video berdurasi tiga minit 11 saat dengan kapsyen DBKL rampas barang peniaga di Taman Tasik Titiwangsa yang tular di media sosial baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan tindakan menyita meja milik seorang penjaja di Taman Tasik Titiwangsa Sabtu lalu dilakukan selepas amaran tidak diendahkan.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL menerusi satu kenyataan memaklumkan kejadian yang mengaitkan tindakan anggota penguat kuasa DBKL tersebut dirakam orang awam dan tular di media sosial.

Menurut kenyataan itu, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan DBKL bermula 7 Ogos hingga 9 Ogos lalu.

“Seminggu sebelum tindakan dilaksanakan, DBKL mengeluarkan amaran awal secara lisan dan bertulis kepada semua pengusaha perniagaan termasuk pengusaha basikal sewa tanpa lesen di Taman Tasik Titiwangsa.

"Ia susulan aduan awam mengenai aktiviti perniagaan yang bercambah di kawasan itu. Aktiviti penjajaan ini didakwa mengganggu laluan awam khususnya di Jalan Kuantan kerana beroperasi di atas laluan pejalan kaki, menurut kenyataan dimuat naik di Facebook DBKL hari ini.

Jika tidak dikawal dan dibendung ia akan membahayakan pejalan kaki kerana mereka terpaksa berjalan di atas jalan raya disebabkan halangan yang wujud,”

DBKL memaklumkan, pada hari kejadian (Sabtu lalu) berlaku, anggota penguat kuasa DBKL membuat rondaan di lokasi dan mendapati penjaja serta pengusaha basikal yang berada di lokasi akur dan bertindak mengemaskan peralatan serta beredar.

“Apabila petugas menghampiri dan memaklumkan bahawa tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan jika masih gagal beredar barulah penjaja tersebut berpura-pura mengemas dan menunggu kenderaan tiba namun tiada tanda-tanda daripada penjaja tersebut untuk beredar.

Artikel Berkaitan:

“Disebabkan penjaja tersebut masih gagal mematuhi amaran dikeluarkan, tindakan menyita meja terpaksa diteruskan. Tiada sitaan terhadap barangan jualan milik penjaja tersebut dilakukan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, sepanjang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan, anggota penguat kuasa DBKL turut membuat rakaman video bagi memastikan tindakan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menurutnya, ia bagi mengelakkan sebarang manipulasi fakta oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 3 minit 11 saat dengan kapsyen DBKL rampas barang peniaga di Taman Tasik Titiwangsa.

Video tersebut memaparkan seorang peniaga wanita merayu sambil menangis supaya barangan perniagaannya tidak dirampas anggota penguat kuasa DBKL yang melaksanakan tindakan penguatkuasaan di lokasi tersebut.

Video yang tular berkenaan turut menunjukkan anggota penguat kuasa menyita meja yang digunakan peniaga terbabit.